Terselamat daripada maut gara-gara terlewat menaiki pesawat

Antonis Mavropoulos terselamat daripada maut gara-gara terlewat menaiki pesawat. - Foto Rappler
Antonis Mavropoulos terselamat daripada maut gara-gara terlewat menaiki pesawat. - Foto Rappler
A
A
A

ATHENS - GREECE. Gara-gara tiba lewat dua minit untuk menaiki penerbangannya, seorang lelaki warga Greece terselamat daripada menjadi penumpang ke-150 yang maut susulan nahas pesawat Ethiopian Airlines, semalam.

Antonis Mavropoulos, Presiden Persatuan Sisa Pepejal Antarabangsa dijadual pergi ke Nairobi untuk menghadiri Perhimpunan Tahunan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bermula hari ini.

"Saya berasa marah kerana tiada sesiapa menolong saya untuk tiba di pintu berlepas tepat pada waktunya," tulis Mavropoulos di Facebook beserta kapsyen 'Hari Bertuah Saya' beserta gambar tiket penerbangannya.

Mavropoulos kemudian menempah tiket baharu namun dihalang daripada menaiki pesawat, sebaliknya dia dibawa ke balai polis di lapangan terbang terbabit dan diberitahu harus bersyukur kerana terselamat daripada maut.

Pihak berkuasa lapangan terbang menyoal siasatnya dan membuat pemeriksaan latar belakang kerana dia merupakan satu-satunya penumpang penerbangan ET 302 yang tidak menaiki pesawat malang itu.

Pesawat Boeing 737 dari Addis Ababa ke Nairobo yang membawa lapan anak kapal dan 149 penumpang daripada lebih 30 negara terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Bole pada kira-kira jam 8:38 pagi waktu tempatan, kelmarin. - AFP

Artikel Berkaitan: