JPN Perak siasat dakwaan guru belum vaksin diasingkan dalam stor

Tangkap layar rakaman video individu yang mendakwa sebagai guru sebuah sekolah menengah di Perak yang diasingkan pihak sekolah kerana belum menerima suntikan vaksin.
Tangkap layar rakaman video individu yang mendakwa sebagai guru sebuah sekolah menengah di Perak yang diasingkan pihak sekolah kerana belum menerima suntikan vaksin.
A
A
A

IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan seorang guru yang diasingkan pengurusan sekolah dalam stor kerana tiada vaksin Covid-19.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, isu yang tular di media sosial itu telah berada dalam pengetahuan JPN dan telah dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Saya sendiri telah mendapat makluman daripada JPN dan mereka telah membuat siasatan penuh dan terperinci berhubung kes itu.

"Laporan penuh akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh KPM," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara terbabit kerana melibatkan aspek kesihatan dan pada masa sama kebajikan guru.

Katanya, tumpuan kerajaan negeri adalah untuk memastikan semua pihak sama ada guru, pelajar mahupun ibu bapa berada dalam keadaan sihat terutama dalam fasa pembukaan semula sesi pembelajaran yang baharu ini.

"Kita nak pastikan semua pihak berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada wabak," katanya.

Video berdurasi tiga minit itu tular dalam aplikasi TikTok selepas dimuat naik pada Isnin hingga mencecah lebih 1.2 juta tontonan.

Artikel Berkaitan:

Dalam rakaman itu, individu yang mendakwa sebagai guru sebuah sekolah menengah di Perak berkata, dia diasingkan pihak sekolah kerana belum menerima suntikan vaksin.

Berikutan itu, lelaki itu meluahkan rasa kesal atas layanan yang diberi pihak sekolah terhadapnya.

Individu itu memaklumkan pada mulanya dia ditempatkan di stor pendidikan jasmani, namun ditukarkan ke stor tukang cuci atas alasan ia merupakan kawasan laluan dan mempunyai banyak peralatan sukan.

Jelasnya, bilik stor tukang cuci tersebut hanya mempunyai meja dan kipas, namun, tidak mempunyai kerusi serta palam (plug) untuk menggunakan komputer riba dan sebagainya.

"Dinding bilik diperbuat daripada zink, jadi saya masuk sekejap dan tidak tahan kerana sangat panas.

"Jadi, sekarang saya duduk dalam kereta ambil sedikit penghawa dingin sebab bilik itu terlalu panas dan tidak layak diduduki," katanya dalam rakaman video itu.

Dalam laporan media 9 November lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan, seramai 279 guru di Perak telah menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

Menurut Saarani, berdasarkan ketetapan KPM, guru yang belum divaksin tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka dan JPN Perak akan menguruskan penggantian guru-guru yang tidak dibenarkan mengajar ini seperti guru bercuti atau sakit.