75,402 tan metrik sampah Sungai Klang dikeluarkan

Keadaan sampah di Sungai Klang tahun lalu.
Keadaan sampah di Sungai Klang tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) berjaya mengeluarkan lebih 75,402 tan metrik sampah dari Sungai Klang sejak 2016 hingga September lalu.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin berkata, sampah yang dikeluarkan dalam tempoh lima tahun itu masing-masing terdiri daripada 50 peratus sampah organik dan bukan organik.

Menurutnya, sampah organik yang dikeluarkan dari sungai itu seperti keladi bunting, tumbuh-tumbuhan, rumput dan dahan pokok serta sampah.

"Plastik menyumbang 80 peratus daripada sampah bukan organik, manakala baki bahan bukan organik lain seperti bungkusan makanan dan minuman, aluminium, tin, barangan getah, tekstil dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Syaiful Azmen berkata, LLSB diberi mandat bagi meningkatkan nilai Sungai Klang dan kawasan tebingnya sebagai pemacu ekonomi bagi negeri ini.

"Sungai Klang sering disenaraikan sebagai antara sungai yang terkotor di dunia dan keadaan ini telah berubah secara drastik.

"Sudah tiba masanya untuk nama kita dikeluarkan daripada senarai itu kerana kebanyakan sampah terapung telah pun dikeluarkan.

"Kami telah mengenal pasti 38 lokasi berpotensi di hilir Sungai Klang untuk pemasangan atau penaiktarafan perangkap sampah, penyaring sampah atau mini log boom di anak-anak sungai, longkang monsun dan kunci air yang akan mengekang pengaliran sampah terapung," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, insiatif itu hasil usaha dilakukan SMG yang menyasarkan 40 peratus pengurangan pengeluaran sampah dan mencapai indeks kualiti air (WQI) Kelas III.

"Sungai Klang tidak lagi tersenarai sebagai antara sungai paling kotor di dunia kerana inisiatif mega SMG untuk memulihara kawasan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer (km) dipergiatkan setelah ia memasuki tahun akhir fasa pertama dari 2016 hingga 2022.

"Projek ini menjelang penghujung 2022 menyasarkan untuk mengurangkan jumlah pengeluaran sampah tahunan sebanyak 40 peratus berbanding jumlah kutipan tahun pertama ia mula beroperasi pada 2016," jelasnya.

Beliau memberitahu, pengurangan itu dijangka berada pada kadar 33 peratus menjelang penghujung Disember 2022.

Jelas beliau, kerajaan Selangor menjadikan inisiatif pembersihan sungai ini sebagai keutamaan dan komited ke arah memenuhi sasaran yang telah ditetapkan dengan mengambil langkah tambahan bagi menghentikan sisa pepejal dan sisa buangan cecair (efluen) daripada memasuki Sungai Klang.

Katanya, rancangan untuk memperluaskan usaha membersihkan sungai ke saliran telah dibuat semasa sesi meja bulat baru-baru ini.

Ujar beliau, beberapa wakil daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) berbincang bagi mencari penyelesaian bersama dengan Jabatan Pengairan Air dan Saliran (JPS) Selangor dan Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.

"Sesi itu dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan inisiatif lain untuk mengekang sisa pepejal daripada memasuki sungai termasuklah mengadakan lebih banyak lagi aktiviti kesedaran dan pendidikan yang dianjurkan secara bersama.

"Ini bagi menggalakkan masyarakat di kawasan majlis perbandaran berkenaan, terutamanya mereka yang tinggal berhampiran dengan sungai supaya sentiasa mengamalkan kitar semula dan membuang sampah secara bertanggungjawab.

"Dengan usaha kolektif empat majlis perbandaran dan agensi negeri ini berserta dengan kesedaran mengenai alam sekitar dalam kalangan anggota masyarakat dan penyertaan aktif NGO dan perniagaan, saya yakin bahawa kita dapat mencapai 40 peratus tersebut," kata Syaiful.

Menurut beliau, projek itu telah mengeluarkan secara purata 1,000 tan metrik sampah sebulan pada tahun 2018 berbanding 1,500 tan metrik sampah sebulan sebelum itu.

"Dengan pelbagai langkah tambahan bagi memerangkap sampah sebelum ia masuk ke Sungai Klang berserta dengan kaedah memerangkap sampah sedia ada, kami menyasar untuk mengurangkan lagi kadar pengeluaran kepada 900 tan metrik sampah sebulan menjelang penghujung tahun depan," ujarnya.