Pasang 12 perangkap sampah bersihkan Sungai Skudai

Onn Hafiz mengutip sampah di pesisiran Sungai Skudai pada Program Johor Bersih @ Sungai Skudai di Kampung Bakar Batu pada Ahad.
Onn Hafiz mengutip sampah di pesisiran Sungai Skudai pada Program Johor Bersih @ Sungai Skudai di Kampung Bakar Batu pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 12 lokasi titik panas atau hot spot yang menjadi punca sampah di Sungai Skudai akan diletakkan perangkap sampah atau 'log boom'.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan Sungai Skudai yang juga antara sungai tercemar di Malaysia dapat mencapai tahap bersih sebelum September ini.

"Antara 12 hotspot tersebut ialah Taman Impian Emas, Jeti Nelayan Tampoi Utama, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Pulau Danga Bayu dan Kampung Bakar Batu.

"Kesemua hotspot ini akan diagihkan kepada empat pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Perbandaran Kulai ( MPKu)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Johor Bersih Sungai di Kampung Bakar Batu pada Ahad.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri juga akan memantau kerjasama semua pihak termasuk agensi berkaitan bagi memastikan Sungai Skudai bersih.

"Di kawasan Sungai Skudai, kerajaan negeri akan pastikan punca pencemaran dapat ditangani dengan usaha meletakkan 'log boom'.

"Saya percaya jika semua pihak bekerjasama sungai akan dapat dibersihkan. Kita bermula dengan Sungai Skudai," katanya.

Beliau berkata, selepas Sungai Skudai, pihaknya akan bergerak ke proses pembersihan bagi dua lagi sungai yang termasuk dalam 10 sungai tercemar di Malaysia iaitu Sungai Kim Kim dan Sungai Tebrau.

Untuk rekod, Sungai Skudai mencatatkan kutipan sampah 30 tan setiap bulan dalam tempoh dua tahun berturut-turut.