Atasi segera masalah parit punca banjir

Kalsom (tengah) melihat sendiri keadaan sistem saliran di Kampung Peringgit, Melaka pada Rabu.
Kalsom (tengah) melihat sendiri keadaan sistem saliran di Kampung Peringgit, Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Masalah sistem perparitan terutama longkang kecil dan sering tersumbat akibat lumpur antara punca utama banjir yang sering berlaku di Kampung Peringgit dan Pulau Kelapa di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin berkata, langkah bagi mengatasi masalah itu perlu ditangani segera supaya air dapat mengalir sempurna dan tidak berlaku takungan sehingga menyebabkan banjir.

"Longkang sedia ada di kampung ini menerima air dari bukit di belakang Hospital Melaka dan Kolej Jururawat.

"Biarpun longkang ini sedang diperbaiki, namun perlu didalami dan diperbesarkan bagi menampung jumlah air yang banyak bila hujan," katanya selepas melakukan lawatan ke Jalan Peringgit di sini pada Rabu.

Kalsom berkata, sistem perparitan di tanah kerajaan itu tidak diselia dengan baik sehingga menjadi semak dan habitat haiwan berbisa seperti ular.

"Sistem longkang yang ada terlalu sempit. Bila hujan lebat, air dari bukit Hospital Melaka turun dan banjirlah kampung ini dan Kampung Pulau," jelas beliau.

Sementara itu, penduduk Kampung Peringgit, Salbiah Mohd Yusof, 57, berkata, masalah banjir di kampung berkenaan telah menghantui penduduk sejak 60 tahun lalu.

Menurutnya, seramai 100 penduduk di dua kampung terbabit berharap masalah itu dapat diatasi segera.

Artikel Berkaitan:

"Sampai bila kami nak menghadapi masalah banjir yang tiada penghujungnya.Penyelenggaraan kawasan kampung seperti pemotongan rumput tidak dilakukan kerap memberi masalah kepada kami seperti kehadiran ular dan biawak," katanya.