97.5 peratus guru lengkap vaksin Covid-19 setakat 31 Oktober

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 97.5 peratus guru telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat 31 Oktober lepas, Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sebanyak 99.04 peratus guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Mengenai tindakan akan diambil terhadap guru yang enggan (mengambil vaksin), ia berpandu kepada arahan akan dikeluarkan oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam),” katanya menjawab soalan tambahan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) yang bertanyakan jumlah guru enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) mengenai video tular berkaitan layanan terhadap guru tidak mengambil vaksin Covid-19 dengan ditempatkan dalam tandas dan tempat terpencil, Mah berkata mana-mana pihak mempunyai maklumat berkaitan perkara itu boleh menyalurkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Memang menjadi keutamaan KPM untuk sentiasa memberikan keutamaan terhadap kebajikan guru dan murid serta semua warga pendidikan,” katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Sarikei itu bertanyakan soalan mengenai pemindahan balik guru yang berasal dari Sarawak serta berapa ramai yang telah dipindahkan balik ke Sarawak sejak lima tahun lepas.

Berdasarkan rekod KPM dari 2017 hingga 2021, Mah berkata 1,023 guru berasal dari Sarawak telah diluluskan pertukaran dari Semenanjung ke negeri itu.

Beliau berkata, pertimbangan permohonan pertukaran guru dibuat berdasarkan kepada prinsip asas dan kategori permohonan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“KPM telah menetapkan tiga prinsip asas pertukaran iaitu kekosongan jawatan, keperluan opsyen serta kepentingan dan keperluan perkhidmatan.

“Dalam hal ini, permohonan pertukaran boleh dibuat berdasarkan kepada beberapa kategori iaitu kategori kesihatan, keselamatan, mengikut pasangan dan lain-lain,” katanya. - Bernama