X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Insiden 'funfair': Pentingnya aspek keselamatan dipatuhi sepenuhnya

LEE LAM THYE
A
A

KAJANG - Insiden pengunjung terjatuh dari buaian berpusing di tapak 'funfair' berhampiran sebuah pasar raya di Cheras Selatan di sini menyebabkan seorang maut baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran berhubung aspek keselamatan yang perlu dipatuhi sepenuhnya.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau berharap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui sama ada aspek keselamatan telah dipatuhi atau sebaliknya.

"Ini penting sebagai pengajaran kepada taman pesta ria yang lain supaya selalu peka terhadap aspek keselamatan sepanjang masa pengoperasian.

"Insiden ini amat menyedihkan kerana seseorang datang ke pesta ria untuk menggembirakan hati tetapi kerana kemalangan tersebut, berita duka yang dibawa pulang kepada keluarga mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Lam Thye berkata, rakyat dan kerajaan juga digesa menitik beratkan budaya keselamatan di mana-mana tempat termasuk tempat berhibur.

"Kerajaan harus memperkasakan budaya keselamatan bagi menggalakkan rakyat, syarikat, majikan dan semua institusi untuk sentiasa peka dengan aspek keselamatan bagi mengelakkan kecederaan, kemalangan dan kematian.

"Budaya kemalangan sifar akan dapat dicapai jika semua pihak mengambil serius aspek keselamatan, bukan sahaja ketika bekerja dan melakukan aktiviti lasak tetapi juga ketika bermain mahupun aktiviti sukan.

"Semoga kejadian kemalangan tapak pesta ria ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan," ujar beliau.

Lam Thye turut berharap mangsa dan keluarganya diberikan pampasan sewajarnya.

Pada 11 November lalu, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun jatuh dari buaian permainan 'funfair' dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak ambulans dari Hospital Kajang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat, manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki tempatan yang cedera juga dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!