PRN Sarawak 18 Disember: SPR

Abdul Ghani mengumumkan hari pengundian PRN Sarawak menerusi sidang akhbar di Kuching pada Rabu.
Abdul Ghani mengumumkan hari pengundian PRN Sarawak menerusi sidang akhbar di Kuching pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu menetapkan tarikh pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 ialah pada 18 Disember depan.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember, manakala tarikh pengundian awal pada 14 Disember dan tarikh writ pilihan raya dikeluarkan pada 24 November ini.

Beliau berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Disember sehingga jam 11.59 malam, 17 Disember.

"Bagi menjalankan proses PRN ini, SPR telah melantik seramai 82 pegawai pengurus pilihan raya dengan dibantu oleh 249 orang penolong pegawai pengurus.

"Bagi tujuan memantau semua aktiviti pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen pula, SPR akan menubuhkan sebanyak 155 pasukan penguat kuasa kempen yang dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding," jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Sarawak di sebuah hotel di Kuching pada Rabu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-11 dibubarkan berkuat kuasa pada 3 November lalu seterusnya memberi laluan kepada PRN.

SPR pada 4 November lalu mengumumkan PRN Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan untuk pembatalan proklamasi darurat di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, PRN Sarawak itu diadakan bagi mengisi kekosongan 82 kerusi DUN Sarawak berikutan pembubaran berkenaan.

Beliau berkata, daftar pemilih pilihan raya yang akan digunakan untuk PRN Sarawak adalah daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan yang diperoleh dan dikemas kini sehingga 2 November 2021.

Menurutnya, daftar pemilih tersebut mengandungi seramai 1,252,014 orang pengundi.