X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

PRU segera sebagai penyelesaian 'once and for all' - Tok Mat

Mohamad
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera adalah bagi menyelesaikan secara tuntas dan muktamad krisis pentadbiran yang melanda negara.

Jelas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, apabila mandat dikembalikan semula kepada rakyat dan jelas siapa yang menjadi pilihan mereka, barulah kerajaan yang dibentuk nanti dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

Kerajaan yang tidak stabil ini, kata Tok Mat, sukar untuk meyakinkan pengamal demokrasi dunia juga pelabur, kerana ia bukannya yang dipilih rakyat pada PRU yang lepas dan beberapa kali sudah bertukar tangan.

“Itu sebabnya kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri terpaksa buat perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) agar iklim politik dapat ditenangkan.

“Jadi bagi saya adalah lebih baik untuk kita ‘once and for all’, pulangkan semula mandat kepada rakyat seperti apa yang berlaku di Melaka untuk rakyat pilihlah, agar kita senang tak perlu berhujah pasal politik pagi petang siang malam akhirnya kesejahteraan rakyat terbiar.”

Maka gesaan segera itu jelas Tok Mat tidaklah begitu mendesak dan masih ada ruang waktu untuk rundingan dan penyusunan strategi ketika semangat kemenangan di Melaka itu masih ada dan dapat dibawa ke pentas pertandingan seterusnya.

Untuk itu jelasnya, tidak perlu untuk menunggu lagi setahun penuh kerana terbukti di Melaka bahawa pilihan raya yang selamat dan lancar boleh dilaksanakan.

“Boleh jadi dalam masa lima ke enam bulan ini adalah baik, sebab nak tunggu sampai Covid-19 dah tak ada susah lah.

“Covid-19 akan berada dengan kita tetapi kita kena belajar hidup bersama dengan virus ini, dan proses vaksinasi kita pun sudah masuk tahap tiga dos, untuk remaja pun sudah mula dibuat.

“Jadi saya rasa untuk mengadakan pilihan raya dengan SOP yang teratur, tersusun bukan menjadi masalah kepada kerajaan atau negara.” - Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!