Ahmad Fadhli cadang kerajaan wujudkan pusat penempatan terkawal pelarian

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan mewujudkan pusat penempatan terkawal untuk pelarian dengan konsep seperti Pulau Bidong bagi menangani isu kebanjiran pelarian Myanmar di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, cadangan itu perlu diteliti menerusi kajian kos dan kebolehlaksanaan termasuk menentukan kapasiti penempatan yang sesuai serta memastikan kawalan yang tegas dapat dilaksanakan.

Katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan kapasiti lebih kecil sekiranya belum berkemampuan menyediakan kemudahan untuk menempatkan sehingga 200,000 pelarian.

“Kita buat pusat penempatan terkawal di lokasi seperti konsepnya di Pulau Bidong. Sebagai contoh, jika tidak mampu sediakan kapasiti 200,000, kita buat kajian (untuk) 10,000, 20,000 dan sebagainya (dahulu).

“Dan kita buat kawalan yang cukup tegas, lantik orang seperti Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Suhaily Mohd Zain sebagai contoh untuk kita kawal perkara-perkara seperti ini,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pulau Bidong di Terengganu pernah diwartakan sebagai pusat penempatan pelarian Vietnam pada 1 Ogos 1978 susulan kedatangan mereka yang melarikan diri daripada konflik di negara berkenaan.

Penempatan itu diwujudkan bagi memudahkan kawalan keselamatan serta penyaluran bantuan makanan, perubatan dan kemanusiaan kepada pelarian terbabit sebelum ditutup pada 30 November 1991 serta diserahkan semula kepada Kerajaan Terengganu.

Ahmad Fadhli menegaskan, rakyat sudah tidak mampu untuk menerima kebanjiran pelarian-pelarian Myanmar walaupun pada asasnya kehadiran mereka adalah di atas asas kemanusiaan.

Bagaimanapun, katanya, pada ketika ini rakyat sudah melihat situasi kebanjiran pelarian berkenaan menyebabkan mereka merasa ‘sesak’.

Artikel Berkaitan:

“Kita rasa cukup terancam dan ia telah menyebabkan rakyat juga sudah tidak mampu untuk melihat perkara ini berlanjutan,” ujarnya.

Ahmad Fadhli menambah, kerajaan juga perlu bertindak lebih tegas terhadap pelarian yang melakukan kesalahan.

Ia kerana, dakwanya, golongan pelarian itu ketika ini sangat berani melanggar undang-undang negara sehingga turut mendirikan sekolah sendiri.

“Di kawasan saya di Pasir Mas, ada sekolah yang dibina oleh pelarian ini. Saya cadangkan supaya kerajaan bertindak lebih keras dan lebih tegas. Kita buru mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan ini,” kata beliau.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!