PN dibenar mulakan semakan, tapi gagal tangguh penggantungan hingga hakim putus semakan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) gagal mendapatkan perintah penangguhan sementara terhadap notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu sehingga permohonan semakan kehakiman didengar dan diputuskan.
Bagaimanapun, Hakim, Datuk Azizan Md Arshad menetapkan 22 Oktober bagi mendengar permohonan PN untuk penggantungan inter-parte atau secara dua pihak, membabitkan notis sama.
Dalam prosiding serupa, beliau membenarkan gabungan parti memulakan semakan kehakiman bagi mencabar perkara itu.
Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendengar penghujahan peguam, Ivanpal Singh Grewal yang mewakili PN dan Peguam Kanan Persekutuan, Nurhaffiza Azizan bagi Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfiqar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku responden.
Permohonan difailkan lima pemimpin parti komponen PN, diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku pemohon pertama.
Empat pemohon lain ialah Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Malaysian Indian People's Party, N Sathes Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair, Datuk Sazmi Miah.
Pada 22 September, RoS mengeluarkan notis kepada PN, sebelum perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu berkuat kuasa pada 23 September.
RoS pada 24 September lalu, mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN dengan tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
Semasa prosiding yang dijalankan secara dalam kamar, Azizan memberitahu, mahkamah telah mengambil kira kepentingan awam serta keperluan memberikan ruang kepada pihak-pihak terbabit menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh yang sesuai lebih-lebih lagi, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Mahkamah memberitahu, permohonan pemohon diberikan keutamaan kerana hari penamaan calon dijadualkan pada 31 Oktober.
Dalam pada itu, hakim memutuskan pemohon telah memenuhi ambang yang diperlukan untuk mendapatkan kebenaran permohonan.
Azizan berkata, ia sekali gus membolehkan isu berbangkit dihujahkan pada peringkat substantif semakan kehakiman.
Mahkamah turut berpendapat, antara isu yang perlu diteliti ialah sama ada kuasa statutori RoS membolehkan penggantungan diperluaskan sehingga menghalang PN daripada menyertai keseluruhan proses pilihan raya, termasuk PRN kelak.
Beliau berkata, keputusan membenarkan kebenaran memulakan semakan kehakiman tidak bermaksud mahkamah sudah memutuskan kesahan tindakan RoS.
Sebaliknya, persoalan sama ada tindakan RoS sah di sisi undang-undang akan ditentukan pada peringkat substantif selepas isu berkenaan dihujahkan dengan lebih terperinci.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, PN mendakwa kegagalan menangguhkan atau membatalkan notis sebelum hari penamaan calon akan menjejaskan penyertaan gabungan dalam PRN Melaka ke-16.
Dalam sijil perakuan segera yang difailkan bersama permohonan, PN turut mendakwa notis itu menghalang gabungan berkenaan menjalankan kegiatan politik seperti biasa, termasuk memberi kuasa kepada calon untuk bertanding menggunakan nama dan logo gabungan parti.
Menurut gabungan itu, sebarang keputusan mahkamah selepas hari penamaan calon akan terlambat kerana peluang untuk meletakkan wakil menggunakan nama dan logonya, tidak lagi dapat dikembalikan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka manakala 31 Oktober, hari penamaan calon.
Pengundian awal pula pada 10 November dan tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari bermula 31 Oktober sehingga 13 November.
Permohonan undi pos bagi PRN Melaka ke-16 dibuka pada 23 September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

