Dasar hipokrit! - Akmal Saleh sindir DAP

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan sikap pemimpin DAP yang didakwa berdiam diri berhubung isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Beliau mendakwa, terdapat pemimpin yang sebelum ini lantang bersuara dalam isu melibatkan pemimpin UMNO, namun mengambil pendekatan berdiam diri apabila isu sama membabitkan pemimpin PH.
"Tiga tahun lepas senyap langsung, tidak berbunyi ketika (Presiden UMNO) Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid diberikan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan). Bila dah nak pilihan raya, sembang konon-konon menjadi terpaling hero.
"Nak tanya juga, tak nak minta SPRM buka semula kertas siasatan kepada pemimpin PH ini juga ke? Ataupun apa cerita tentang korporat mafia?
"DAPSY siap buat demo desak untuk siasat, tetapi sampai ke hari ini diam seribu bahasa. Atau perlukan tiga tahun lagi baru boleh bersuara? Dasar hipokrit," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Selasa.
Ketika berucap di Dewan Rakyat pada Isnin, RSN Rayer (PH - Jelutong) membidas kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa 'memilih bulu' dalam kes rasuah, sambil mempersoalkan mengapa Ahmad Zahid belum dituduh semula berhubung kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.
Beliau berkata, kerajaan tidak sepatutnya memberikan pelepasan kepada sesiapa sahaja dalam kes rasuah, tanpa mengira sama ada mereka adalah rakan sekutu atau pesaing politik.
Rayer turut menggesa Anwar untuk memastikan Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti semula kes tersebut dan jika wajar, mengheret semula Timbalan Perdana Menteri itu kembali ke mahkamah untuk dibicarakan.
Susulan itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam respons pada Selasa menegaskan, Perdana Menteri tidak boleh menentukan seseorang dituduh semula kerana kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara selaras Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu menjelaskan, keputusan pendakwaan hendaklah dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, fakta dan bukti, bukan kerana tekanan atau kehendak politik.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan Ahmad Zahid pelepasan tanpa pembebasan bagi 47 pertuduhan jenayah berkaitan Yayasan Akal Budi selepas pihak pendakwaan memaklumkan AG mahu memberhentikan prosiding terhadapnya.
Bagaimanapun, Badan Peguam kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan AG.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

