Kedudukan Ismail, Najib, Zahid berubah di Dewan Rakyat

Dewan rakyat - Foto Bernama
Dewan rakyat - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 yang bermula hari ini menyaksikan perubahan tempat duduk beberapa ahli Parlimen daripada BN susulan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

Perubahan kedudukan tempat duduk terkini itu bagi menggantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bercuti daripada memegang jawatan itu ekoran pertuduhan di mahkamah.

Menurut Ismail Sabri, beliau kini diletakkan di tempat duduk pertama pembangkang dan diikuti oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Dr Ahmad Zahid di tempat duduk nombor tiga.

"Banyak berubah banyak yang melompat itu parti lain dan kita buat pengubahsuaian berdasarkan apa yang ada, saya dikedudukan nombor satu di tempat Ketua Pembangkang.

"Di sebelah saya bekas PM Datuk Seri Najib Razak, ranking kerajaan selepas itu barulah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," katanya kepada media selepas selesai menghadiri pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Malah kerusi ketua whip BN di barisan depan blok pembangkang juga berubah apabila diisi oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menggantikan Ismail.

Katanya lagi, segala isu yang akan dibangkitkan oleh pembangkang akan terlebih dahulu dibincangkan secara bersama antara UMNO-Pas dan BN.

"Perbahasan akan mula esok saya percaya esok kita akan mulakan perbincangan di Parlimen secara bersama Pas-UMNO," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sidang Dewan Rakyat bermula hari ini hingga 11 April.