X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Kastam sita 20 kereta mewah bernilai RM711,018

Mohammad Hafiz (dua dari kiri) bersama pegawai JDKM Negeri Sembilan berdiri di hadapan kereta mewah yang dirampas.
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita 20 buah kereta mewah pelbagai jenama bernilai RM711,018 selepas didapati diimport tanpa cukai.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, kereta mewah berkenaan dirampas dalam serbuan di sebuah premis pada 11 September lalu.

Beliau memberitahu, premis berkenaan turut dijadikan tempat penyimpanan kenderaan import terpakai yang belum dibayar cukai dan tanpa kelulusan kastam di Johor.

"Pemeriksaan mendapati terdapat 20 unit kereta mewah pelbagai jenama melibatkan duti dan cukai bernilai RM1,108,930," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohammad Hafiz menunjukkan kereta mewah yang disita.
Mohammad Hafiz menunjukkan kereta mewah yang disita.

Menurutnya, modus operandi suspek ialah memindahkan kenderaan import berduti yang belum dibayar cukai tanpa kelulusan kastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Jelasnya, kenderaan tersebut dipercayai dipindahkan ke Johor dari Selangor yang kononnya bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan tetapi dipercayai untuk dijual di pasaran di Johor.

"Pemilik premis seorang lelaki tempatan telah dipanggil ke Pejabat Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan untuk membantu siasatan.

"Kes sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu memindahkan barang-barang berduti dari kawalan kastam tanpa kelulusan dan melanggar syarat-syarat Gudang Berlesen (PEKEMA) yang telah ditetapkan di bawah Perintah Tetap Kastam.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 138, Akta Kastam 1967 iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, JDKM tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang yang ditadbir oleh jabatan.

Katanya, orang ramai digesa membantu kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau Pejabat Kastam yang terdekat, " katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!