Di mana kepimpinan melalui teladan?

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka melabuhkan tirainya pada Sabtu yang menyaksikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13.

Semua orang tahu, Barisan Nasional (BN) menang bergaya menewaskan parti-parti lawan pada PRN tersebut. Tahniah dan selamat berkhidmat!

Namun, apa yang menyesakkan dada apabila banyak laporan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berlaku, walhal kita sedia maklum situasi Covid-19 di Malaysia sangatlah fragile.

Lebih menyedihkan ia dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik sama ada secara sengaja ataupun tidak.

Bermula pada 27 Oktober lalu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dikompaun sebanyak RM4,000 kerana mengadakan sidang akhbar di Bangunan Merah, Banda Hilir.

Ia disusuli oleh UMNO yang turut dikompaun RM10,000 kerana melancarkan jentera parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sehari selepas itu.

Sejak 25 Oktober hingga 15 November, sebanyak 16 kompaun berjumlah RM198,000 dikeluarkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Bersepadu terhadap parti politik serta individu yang didapati melanggar SOP.

Terbaharu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, masing-masing turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 selepas didapati menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

Artikel Berkaitan:

Timbul persoalan, bagaimana seorang pemimpin yang mempunyai pegawai kiri dan kanan tidak memakai pelitup muka, sedangkan hampir dua tahun kita sudah sebati mengimplementasikannya dalam kehidupan seharian.

Di sisi lain pula, pasukan petugas KKM terus bertahan selepas kemasukan kes positif Covid-19 ke hospital kembali meningkat.

Malah, kadar kebolehjangkitan (Rt) negara turut meningkat kepada 1.05 minggu lalu berbanding 0.92 pada 6 November.

Situasi membimbangkan itu menggambarkan potensi penularan jangkitan Covid-19 kepada masyarakat dan seterusnya risiko pendedahan yang lebih tinggi untuk dijangkiti oleh virus tersebut.

Pegawai Perubatan Hospital Sungai Buloh (HSB), Dr Azfar Kamal turut memberi amaran bahawa negara berkemungkinan akan dilanda gelombang baharu Covid-19 pada awal Disember ini.

Kenyataannya senada dengan pakar-pakar kesihatan lain yang turut menyuarakan kebimbangan mengenai penularan Covid-19 jika ramai yang masih enggan mengambil suntikan dos penggalak.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) termasuk Pulau Pinang juga telah mula mengemukakan pelan penyusunan kemudahan perubatan bagi menghadapi peningkatan kes.

Kapasiti unit rawatan rapi (ICU) HSB yang menjadi hospital rujukan Covid-19 telah pun kembali meningkat jumlah pengguna katil kepada 96 peratus pada Khamis lalu.

Sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke HSB, Sistem Gas Oksigen di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) juga telah ditambah baik.

Perkara sama berlaku di Selangor dengan 80.2 peratus katil diisi kemasukan pesakit Covid-19.

Jumlah katil bukan kritikal di hospital bagi pesakit Covid-19 adalah sebanyak 1,286 katil, manakala jumlah terkini katil ICU dan repurposed ICU di Selangor adalah sebanyak 203 katil dengan kadar peng-gunaannya 80 peratus.

Masihkah kita ingat apa yang berlaku selepas PRN Sabah tahun lalu? Mungkin ada yang lupa tetapi tidak untuk rakyat.

Pelbagai kluster dari Sabah telah merebak ke seluruh negara sehingga meragut nyawa individu yang tidak terlibat langsung dengan PRN Sabah.

Lelah! Semua pihak kelesuan berperang dengan Covid-19.

Jadi, ayuh kita semua bersatu hati menghantar doa agar peristiwa hitam itu tidak kembali jika ahli politik masih berdegil. Biarkan mereka dia di situ kerana ahli politik tetap ahli politik.

Bak kata pepatah, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

* Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah Wartawan Sinar Harian