Kita perlukan lebih ramai 'Choi Gang Seok dan Na Hwa-Jin'

PENULIS mengaku sehingga hari ini masih belum berkesempatan menonton keseluruhan drama Korea Selatan yang sedang tular ketika ini, 'Teach You A Lesson'.
Bagaimanapun, penulis ada melihat beberapa potongan video daripada drama tersebut yang muncul di wall Facebook dan TikTok penulis hampir setiap hari.
Walaupun hanya sempat menonton video-video pendek sahaja, penulis dapat membuat satu rumusan mudah iaitu buli boleh berlaku di mana-mana sahaja.
Ia boleh berlaku di sekolah harian, sekolah berasrama, institusi pengajian tinggi, tempat kerja malah dalam komuniti.
Yang membezakan hanyalah bentuk, kaedah dan tahap kekejaman yang dilakukan.
Terbaharu, seorang murid Tahun Enam sebuah sekolah di Perlis pula didakwa dibuli rakan sehingga mengalami kecederaan serius dan berdepan gangguan stres pascatrauma (PTSD).
Jadi, penulis berpandangan apa yang menjadikan drama tersebut dekat dengan masyarakat bukan kerana aksi atau jalan ceritanya semata-mata, tetapi kerana ia menyentuh satu realiti yang turut dihadapi di Malaysia iaitu kejadian buli.
Mungkin sebab itu watak Pengarah Choi Gang Seok dan Na Hwa-Jin dalam drama tersebut begitu mendapat perhatian ramai.
Mereka digambarkan sebagai individu yang tegas, berani dan tidak bertolak ansur terhadap pembuli.
Mereka hadir bukan sekadar menghukum, tetapi memastikan mangsa mendapat pembelaan dan pelaku menerima akibat daripada perbuatan mereka.
Sudah tentu, ia hanyalah drama.
Disebabkan itu, mungkin tidak semua tindakan yang dilakukan dalam drama 'Teach You A Lesson' boleh dilaksanakan dalam dunia sebenar kerana negara ini mempunyai undang-undang, prosedur dan peraturan tersendiri.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya mesej yang dibawa drama itu cukup jelas iaitu setiap kes buli mesti ditangani dengan tindakan yang tegas, pantas dan berkesan.
Sebab itu, langkah Majlis Amanah Rakyat (Mara) melantik bekas tentera sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebelum ini dilihat sebagai usaha yang wajar dan berani.
Walaupun terdapat pihak yang mempertikaikan keperluan pelantikan tersebut, laporan terkini menunjukkan pendekatan berkenaan memberikan kesan positif terhadap kawalan disiplin dan keselamatan pelajar.
Dalam konteks itulah masyarakat mula menyamakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan watak Pengarah Choi Gang Seok.
Perbandingan itu bukan kerana kedua-duanya sama dari segi perwatakan, tetapi kerana ketegasan yang ditunjukkan dalam menangani isu buli di institusi pendidikan.
Menariknya, peranan warden bekas tentera di MRSM turut dikatakan mempunyai persamaan tertentu dengan watak Na Hwa-Jin dalam drama Teach You A Lesson.
Asyraf Wajdi berkata, kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan keberkesanan pendekatan Mara menempatkan bekas tentera di MRSM bagi menangani isu buli.
"Patutlah ramai minta saya tonton drama Netflix "Teach You A Lesson." Semalam sempat menonton episod pertama.
"Rupanya ada kesamaan watak Na Hwa-jin, bekas komando yang menjadi Pegawai utama Biro Perlindungan Hak Pendidikan dengan bekas tentera yang dilantik sebagai warden sepenuh masa di MRSM.
"Keduanya punya fungsi yang sama untuk menangani isu buli di sekolah," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook baru-baru ini.
Justeru, apa yang kita perlukan ialah lebih ramai individu yang mempunyai semangat seperti Pengarah Choi Gang Seok dan Na Hwa-Jin.
Kita perlukan lebih ramai pengetua yang berani bertindak tanpa takut tekanan.
Kita perlukan lebih ramai guru yang sanggup mempertahankan mangsa.
Kita perlukan lebih ramai warden yang sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal buli.
Kita perlukan lebih ramai ibu bapa yang tidak menafikan kesalahan anak sendiri apabila aduan dibuat.
Dan kita perlukan lebih ramai pelajar yang berani melaporkan salah laku serta mempertahankan rakan yang menjadi mangsa.
Drama seperti Teach You A Lesson mungkin sekadar hiburan, jika ia berjaya membuka mata masyarakat tentang bahaya buli dan pentingnya tindakan tegas terhadap pembuli, maka mesej yang dibawanya wajar dijadikan pengajaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

