Anwar perlu letak jawatan, bertanggungjawab atas kekalahan PH

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfiq (kanan) menjadi panel dalam Program Sinar Live, pada Ahad.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfiq (kanan) menjadi panel dalam Program Sinar Live, pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa bertanggungjawab di atas kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan melepaskan jawatan sebagai pemimpin tertinggi gabungan parti itu.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, kegagalan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga menjadi sebab kukuh untuk Anwar perlu berundur.

Mohammad Tawfik berkata, Anwar hanya seperti ‘dinasor purba’ dalam politik dan kedudukan Presiden PKR itu sudah tidak lagi relevan. Rakyat Melaka memilih Barisan Nasional (BN) kali ini menggambarkan ada rekod pentadbiran PH selama 22 bulan sebelum ini yang tidak memuaskan hati mereka dan kemudian diterjemahkan menerusi keputusan PRN Melaka pada Sabtu.

“Di mana PH? PKR juga dilihat gagal mempertahankan satu kerusi bahkan ada DUN hilang wang deposit.

“Maka, siapa perlu bertanggungjawab? Sudah pasti pengarah pilihan raya PKR dan Presiden PKR serta Pengerusi PH yang perlu bertanggungjawab. Bagi, Anwar perlu letak jawatan serta merta dan tinggalkan kerusi pengerusi PH bagi menunjukkan beliau bertanggungjawab terhadap kekalahan besar dialami oleh PH di Melaka,” katanya ketika menjadi panel dalam Program Sinar Live yang mengupas tajuk ‘Mampukah kerajaan pilihan rakyat Melaka mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negeri Hang Tuah ini’, pada Ahad.

Menurut Mohammad Tawfiq, sejak awal percaturan PH yang meletakkan calon 'pemimpin lompat' (lompat parti) yang ditolak oleh penyokong sendiri juga menunjukkan mereka gagal belajar daripada kesilapan.

"Ini berbeza dengan BN yang berani mengemukakan 85 peratus muka baharu. Saya juga terkejut, begitu juga penganalisis politik lain kerana BN sebelum ini penuh keegoan dengan muka-muka lama, tapi mereka belajar daripada kesilapan.

“Namun dalam soal taktik PH, signal mesej sudah ada (ditolak penyokong) tapi disebabkan ego pemimpin 'dinasor purba'. PH perlu belajar atas kesilapan dan perlu lihat ini adalah pengajaran besar kepada mereka supaya mengubah tindakan dan taktik politik. Bagi saya Anwar sudah tidak relevan dalam politik PH dan berikan kepada muka-muka baharu untuk memimpin PH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

PRN Melaka menyaksikan BN menang besar apabila berjaya memperoleh majoriti selesa 21 kerusi berbanding 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH memenangi lima kerusi DUN disumbangkan oleh DAP menerusi empat DUN dan satu kerusi daripada Parti Amanah Negara (Amanah) manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat mandat dua kerusi DUN iaitu Bemban dan Sungai Udang.