X

Kindly register in order to view this article
!

Dua sekolah di Pasir Gudang kembali beroperasi

Aminolhuda bertanya khabar murid SK Taman Pasir Putih, hari ini.
A
A

PASIR GUDANG - Dua sekolah yang terlibat dalam kejadian pencemaran sisa bahan kimia pada Khamis lalu, kembali beroperasi sepenuhnya, hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih mendapati murid serta pelajar kembali hadir ke sekolah bagi mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hasan turut berkesempatan mengadakan lawatan ke dua sekolah tersebut sebentar tadi.

Bercakap kepada pemberita, Aminolhuda mengucapkan rasa syukur apabila dua sekolah itu dapat kembali beroperasi selepas disyorkan untuk ditutup sejak 7 Mac lalu, sehingga semalam.

Beliau berharap pihak bomba dan agensi berkaitan dapat mengesan punca kejadian dan siasatan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan

“Kita mengharapkan pihak bertanggungjawab seperti bomba dan keselamatan negeri dapat mengesan punca, dan hasil daripada siasatan itu dapat membawa mereka yang tidak bertanggungjawab ke mahkamah untuk diambil tindakan.

“Kalau tidak perkara ini akan berterusan ataupun kita bimbang benda ini boleh menjadi satu daripada perkara yang macam jadi kebiasaan pula kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melepaskan bahan-bahan beracun ini sesuka hati mereka,” katanya ketika ditemui di SK Taman Pasir Putih di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, beliau mewakili Jabatan Pendidikan Negeri Johor turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada warga pendidik serta semua yang terlibat dalam memberikan bantuan dan kerjasama.

“Walaupun kecemasan berlaku pada hari Khamis, tetapi kita dapat segera bertindak untuk mengosongkan sekolah dan membenarkan anak-anak ini balik ke rumah, jauh dari kawasan pencemaran,” katanya

Selain itu, beliau mengesahkan 10 murid dan pelajar SK Taman Pasir Putih serta SMK Pasir Putih masih mendapatkan rawatan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Tiga daripadanya merupakan murid SK Taman Pasir Putih manakala baki iaitu seramai tujuh orang merupakan pelajar SMK Pasir Putih.

Daripada tujuh pelajar SMK Taman Pasir Putih terbabit, dua daripadanya ditempatkan di dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan susulan kejadian itu.

Aminolhuda juga meluangkan masa seketika melawat SMK Pasir Putih yang terletak bersebelahan dengan SK Taman Pasir Putih.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!