X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Elak bersesak, warga emas datang awal mengundi

Maimun Hassan, 78, menjadi pengundi pertama tiba di Pusat Pembuangan Undi Sekolah Kebangsaan Durian Duan (K) Alor Gajah.
A
A

ALOR GAJAH - Semangat pengundi veteran di sini keluar mengundi bagi menentukan kerajaan baharu negeri Melaka meskipun berdepan kebimbangan penularan jangkitan Covid-19 wajar dipuji.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata warga emas hadir ke pusat-pusat pengundian pada sebelah pagi bagi mengelakkan kesesakan.

Salah seorang pengundi warga emas, Jaharah Bujang, 78, mengakui 'terpaksa' keluar mengundi demi menunaikan tanggungjawabnya.

Jaharah Bujang
Jaharah Bujang

Menurutnya, pilihan raya secara mengejut membuat dirinya tidak ada pilihan kerana tidak mahu terlepas peluang memilih pemimpin yang dimahukan.

"Bimbang juga dengan keadaan Covid-19 sekarang ini, jika ikutkan anak, dia tidak beri saya datang mengundi tapi saya semangat juga hendak pergi.

"Kalau tak turun mengundi takut nanti pemimpin yang kita mahukan tak dapat, kita rasa ralat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Pembuangan Undi Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), di Alor Gajah di sini pada Sabtu.

Pengundi pertama tiba di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), di Masjid Tanah, Maimun Hassan, 78, pula berkata, dia datang awal kerana tidak mahu bersesak dengan orang lain.

Maimun Hassan
Maimun Hassan

Maimun yang merupakan penduduk Kampung Seri Tanjung hadir berkerusi roda kerana mengalami masalah lemah kaki akibat kemalangan dua tahun lalu.

"Saya juga berpuas hati dengan proses pengundian yang tenang dan lancar," katanya.

Sementara itu, V Harkishandas, 71, yang hadir di Sekolah Kebangsaan Sri Laksamana, Masjid Tanah dengan bertongkat dibantu anak saudaranya, Suriakant, 60.

V Harkishandas, 71
V Harkishandas, 71

Suriakant berkata, bapa saudaranya itu mempunyai masalah pertuturan, namun dia tidak melepaskan peluang untuk turun mengundi.

"Setiap kali pilihan raya dia akan turun mengundi. Setiap pagi dia akan baca surat khabar dan mengikuti rapat perkembangan politik negara. Jadi dia memang bersemangat untuk mengundi," katanya.

PRN Melaka diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebelum ini mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Dun Melaka dibubarkan susulan tindakan bekas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!