Musang king, harumanis perintis projek tanah terbiar di Terengganu

Foto 123rf. (Gambar kecil: Dr Azman)
Foto 123rf. (Gambar kecil: Dr Azman)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu sudah memulakan projek perintis pembangunan tanah terbiar di negeri ini dengan tanaman durian bermutu tinggi jenis musang king dan mangga harumanis di Setiu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman itu diusahakan di kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman, Permaisuri dan RTB Kampung Rahmat, Langkap.

“Projek perintis ini dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dan pemilik-pemilik tanah melibatkan seramai 100 orang peserta.

“Dengan pelaksanaan projek ini, kerajaan menyasarkan pendapatan minimum sebanyak RM3,000 sebulan kepada setiap peserta terlibat, sekali gus mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan,” katanya di sini pada Sabtu.

Tanah terbiar bermaksud tanah milik individu atau syarikat berkeluasan lebih 0.4 hektar yang tidak dimajukan selama tiga tahun berturut-turut. Bagaimanapun, tanah kerajaan tidak dikira sebagai tanah terbiar.

Menurut Dr Azman, kerajaan negeri melalui Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada 15 November lalu meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan program pembangunan tanah terbiar di Terengganu.

Beliau berkata, ia merupakan usaha membangunkan lebih 8,000 hektar tanah terbiar yang telah dikenal pasti di seluruh Terengganu agar memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.

Menurutnya, usaha pemulihan semula tanah terbiar merupakan salah satu daripada teras tindakan Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri juga sedia memberi pajakan sehingga 20 tahun kepada individu atau syarikat yang berhasrat memajukan tanah terbiar di negeri ini.

“Oleh itu, kita mengalu-alukan permohonan daripada mana-mana pihak yang berminat kerana 8,000 hektar tanah terbiar ini merupakan satu jumlah besar dan merugikan Terengganu,“ jelas beliau.