KL City FC aksi tanpa penonton, Terengganu FC diberi amaran keras

Antara gelagat penyokong yang memasuki padang selepas berakhirnya perlawanan antara KL City menentang Selangor FC di Cheras.
Antara gelagat penyokong yang memasuki padang selepas berakhirnya perlawanan antara KL City menentang Selangor FC di Cheras.
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan insiden penyokong yang menceroboh masuk ke dalam kawasan padang dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis telah dikemukakan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL pada Jumaat

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, insiden yang berlaku ketika membabitkan perlawanan di antara Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC itu telah melanggar peraturan MFL berkaitan peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penonton Perlawanan Piala Malaysia dan Manual Liga Malaysia 2021.

Jelas lagi Stuart, insiden itu juga menyaksikan pasukan tuan rumah didapati bersalah melanggar peraturan SOP Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia dengan dibaca Bahagian 3 (v) SOP di mana penonton atau penyokong telah dikehendaki mengamalkan penjarakan fizikal.

“MFL telah menerima laporan bahawa ada sebahagian penyokong telah melompat pagar dari tempat duduk penonton dan berlari ke arah padang untuk meraikan kemenangan bersama pasukan.

“Sehubungan itu, pasukan tuan rumah telah didapati bersalah kerana melanggar Peraturan SOP Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia; Bahagian 3 (v) SOP dan melanggar Manual Liga Malaysia 2021; Artikel 4.7.2,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Stuart mengesahkan bahawa MFL telah meminta pihak Kuala Lumpur City FC yang bertanggungjawab sebagai pasukan tuan rumah mengemukakan surat tunjuk sebab berhubung insiden pencerobohan penyokong masuk ke kawasan padang.

“MFL menerima surat balas Kuala Lumpur City FC pada hari ini di mana Ahli Lembaga Pengarah MFL bersepakat memutuskan Kuala Lumpur City FC dikenakan hukuman perlawanan tanpa penonton untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung pada 22 November dan Kuala Lumpur City FC telah bersetuju serta mengambil keputusan untuk tidak menjual tiket bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia 2021,” katanya.

Sementara itu, Stuart turut mengumumkan keputusan insiden penyokong memasuki kawasan padang ketika melibatkan perlawanan Selangor FC dan Terengganu FC pada peringkat Kumpulan C di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 7 November 2021.

Artikel Berkaitan:

“Sekretariat MFL telah menerima laporan bahawa beberapa pemain Terengganu FC tidak mengekalkan penjarakan sosial dengan penyokong dan telah berlari ke arah penyokong untuk meraikan gol kedua Terengganu FC.

“Beberapa penyokong turut didapati telah melompat pagar dari tempat duduk penyokong dan pergi ke arah padang untuk meraikan gol dengan pemain Terengganu FC. Terengganu FC telah melanggar Bahagian 3(v) SOP Kemasukan Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia 2021, yang menyatakan bahawa penonton hendaklah mengekalkan penjarakan fizikal.

“Sekretariat MFL turut mendapati Terengganu FC telah melanggar Klausa 4.7.2(i) (f) (5) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia yang menyatakan bahawa kelakuan penyokong atau penonton hendaklah tertib.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan Terengganu FC diberikan amaran keras dan dinasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut bagi mengelak daripada dikenakan hukuman lebih berat,” ujarnya.