IJM Plantations catat keuntungan bersih RM101.04 juta

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

IJM Plantations Bhd kembali meraih keuntungan untuk suku kedua bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021, mencatatkan keuntungan bersih RM101.04 juta daripada kerugian bersih RM1.04 juta.

Hasilnya melonjak 41.8 peratus kepada RM299.78 juta daripada RM211.37 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun lalu berikutan harga komoditi yang lebih tinggi pada suku tersebut.

“Perolehan operasi Indonesia bertambah baik berikutan harga komoditi yang lebih tinggi walaupun jumlah jualan lebih rendah. Pengeluaran buah tandan segar (FFB) kekal pada paras sama seperti yang dicapai pada suku sebelumnya.

“Secara keseluruhannya, prestasi kewangan yang lebih baik telah dicapai hasil daripada harga komoditi yang lebih tinggi,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Selain itu, syarikat itu juga mendapat manfaat daripada pengukuhan rupiah berbanding dolar AS dan yen Jepun yang mengakibatkan keuntungan pada pertukaran mata wang asing bersih sebanyak RM7.74 juta direkodkan terhadap pinjaman dalam denominasi mata wang asing.

Ia berbanding kerugian pertukaran mata wang asing bersih sebanyak RM34.97 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021.

IJM Plantations melaporkan pendapatan asas sesaham sebanyak 11.47 sen daripada kerugian pendapatan asas sesaham sebanyak 0.12 sen.

Kumpulan itu optimistik dengan prestasi kewangan yang menggalakkan bagi tahun kewangan semasa berdasarkan jangkaan pasaran bahawa harga produk sawit akan kekal tinggi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ia menghalang sebarang turun naik kadar pertukaran mata wang asing terutamanya rupiah berbanding dolar AS dan yen Jepun dan sebarang kesan akibat cuaca buruk yang mengganggu pengeluaran tanaman.

Lembaga pengarah tidak mengesyorkan sebarang dividen interim untuk suku semasa dan tempoh kewangan tersebut. - Bernama