Bursa Malaysia ditutup tinggi

Bursa Malaysia ditutup tinggi berikutan belian saham pada harga rendah dalam saham wajaran tinggi terpilih terutamanya di kaunter telekomunikasi dan media seperti Axiata Group Bhd, Digi.Com Bhd dan Maxis Bhd.Gambar hiasan
Bursa Malaysia ditutup tinggi berikutan belian saham pada harga rendah dalam saham wajaran tinggi terpilih terutamanya di kaunter telekomunikasi dan media seperti Axiata Group Bhd, Digi.Com Bhd dan Maxis Bhd.Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup tinggi berikutan belian saham pada harga rendah dalam saham wajaran tinggi terpilih terutamanya di kaunter telekomunikasi dan media seperti Axiata Group Bhd, Digi.Com Bhd dan Maxis Bhd.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.75 mata kepada 1,525.54. Ia bergerak antara 1,523.14 dan 1,527.50 sepanjang hari.

Indeks dibuka tinggi 1.59 mata kepada 1,525.38 daripada 1,523.79 semasa ditutup pada Khamis.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 474 berbanding 450, manakala 471 kaunter tidak berubah, 928 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.67 bilion saham bernilai RM2.01 bilion daripada 2.81 bilion saham bernilai RM2.12 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI terus diniagakan dalam jajaran kecil berikutan tiada pemangkin baharu.

“Indeks petunjuk pasaran ditutup tinggi, didorong oleh saham wajaran tinggi bank dan telekomunikasi.

“Pasaran serantau utama kebanyakannya positif selepas Wall Street ditutup pada paras tertinggi pada sesi sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, sentimen pelabur di Hong Kong dan China berhati-hati selepas Alibaba terlepas jangkaan pendapatan dan perolehan menyebabkan saham merosot lebih daripada 10 peratus.

“Dalam negara, FBM KLCI terus mendapat sokongan yang baik melebihi paras 1,520, justeru, kami menjangka pengumpulan saham terus merosot,” katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei Jepun naik 0.50 peratus kepada 29,745.87, Kospi Korea Selatan meningkat 0.80 peratus kepada 2,971.02 manakala SSE Shanghai naik 1.13 peratus kepada 3,560.37.

Indeks Straits Times Singapura merosot 0.17 peratus kepada 3,231.45 dan Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 1.07 peratus kepada 25,049.97.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM8.08, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.07, IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM6.54 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.31.

Daripada saham aktif, PDZ merosot setengah sen kepada enam sen, AirAsia susut lapan sen kepada RM1.05 dan KNM berkurangan satu sen kepada 17 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 14.18 mata kepada 11,245.64, Indeks FBMT 100 meningkat 8.07 mata kepada 10,895.58 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 15.39 mata kepada 12,227.75.

FBM ACE susut 1.82 mata kepada 6,815.06 manakala FBM 70 merosot 6.44 mata kepada 14,783.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 52.59 mata kepada 15,225.58, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.66 mata kepada 199.79 dan Indeks Perladangan menambah 13.56 mata kepada 6,605.10.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.86 bilion saham bernilai RM1.75 bilion daripada 1.81 bilion saham bernilai RM1.81 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 298.96 juta unit bernilai RM73.11 juta daripada 244.27 juta unit bernilai RM50.32 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 512.95 juta saham bernilai RM191.04 juta daripada 746.13 juta saham bernilai RM257.14 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 376.15 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (458.68 juta), pembinaan (40.04 juta), teknologi (260.13 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.30 juta), hartanah (128.82 juta), perladangan (10.69 juta), REIT (8.01 juta), dana tertutup (146,900), tenaga (231.82 juta), penjagaan kesihatan (62.53 juta), telekomunikasi dan media (36.77 juta), pengangkutan dan logistik (171.89 juta) dan utiliti (21.50 juta). - Bernama