Naratif baharu BN 3.0

A
A
A

KEPUTUSAN MCA dan MIC meninggalkan BN adalah satu gerakan politik yang bijak. Gerakan ini amat menepati formula 3 matlamat dan 3 agenda untuk menyusun semula kekuatan strategi dalam naratif baharu bagi menghadapai PH dalam PRU15.

Sebenarnya terdapat hikmah dalam formula 3 matlamat dan 3 agenda iaitu berkemungkinan penubuhan BN 3.0 dan Gabungan Pas dan UMNO mampu membawa satu corak politik tanpa rasuah dan tiada elemen politik wang.

Perlu diteliti jumlah keseluruhan pengundi PRU14 seramai 14.94 juta terdiri daripada Semenanjung Malaysia 12.6 juta, Sarawak 1.22 juta dan Sabah 1.12 juta pengundi. Perbandingan peratusan keluar undi 2018 ialah 82.32% atau 12.29 juta pengundi dan peratusan keluar mengundi 2013 ialah 80% atau 10.33 juta pengundi.

Keputusan PRU14 menunjukkan BN memperoleh 4.01 juta pengundi termasuk Sabah 0.331 juta dan Sarawak 0.451 juta pengundi. Pas pula 1.9 juta pengundi dan PH 5.76 juta - PKR seramai 2.05 juta, DAP 2.7 juta pengundi termasuk Sabah dan Sarawak, PPBM 0.69 juta pengundi dan Amanah 0.32 juta pengundi dalam pertandingan sistem 3 parti.

Andai kata UMNO bergabung dengan Pas dan MCA, MIC serta Gerakan membuat satu perikatan baharu, maka senario BN 3.0 akan berlaku iaitu, pertama pengundi tegar UMNO kembali menyokong gabungan UMNO dan Pas iaitu 3 juta pengundi.

Kedua, pengundi tegar Pas kembali menyokong gabungan UMNO dan Pas iaitu 1.5 juta pengundi. Keseluruhannya 4.5 juta pengundi tegar kembali menyokong gabungan ini disebabkan kepentingan penyatuan kembali Melayu Muslim di Malaysia. Diikuti perikatan gabungan MCA, MIC dan Gerakan.

Pertama, pengundi tegar MCA kembali menyokong gabungan MCA, MIC dan Gerakan iaitu 0.8 juta. Kedua, pengundi tegar MIC kembali menyokong gabungan MCA, MIC dan Gerakan iaitu 0.5 juta. Ketiga, pengundi tegar Gerakan kembali menyokong gabungan MCA, MIC dan Gerakan iaitu 0.7 juta.

Keseluruhannya iaitu 2 juta pengundi tegar ini kembali menyokong disebabkan kepentingan penyatuan bukan Melayu sebagai alternatif selain daripada PH. Tanpa UMNO sebenarnya lebih mudah untuk perikatan gabungan ini membuat strategi.

Artikel Berkaitan:

Jika kemenangan diperoleh kedua-dua gabungan ini berkemungkinan satu perikatan gabungan BN 3.0 berlaku seperti mana fasa pertama perikatan gabungan iaitu Parti Perikatan yang menggunakan logo kapal layar dan fasa kedua perikatan gabungan iaitu BN guna logo dacing.

Hujah kedua gabungan BN 3.0 pasti berlaku kerana UMNO, MCA, MIC dan Gerakan adalah parti Konservatisma Kebangsaan manakala Pas adalah parti Konservatisma Islam. Hujah Ketiga iaitu perikatan gabungan MCA, MIC dan Gerakan tidak akan menyertai PH disebabkan PH adalah parti Demokrasi Sosialis atau Parti Sosialis Malaysia pula adalah parti Sosialis. Ideologi berbeza sukar menyatukan perikatan MCA, MIC dan Gerakan dengan PH atau PSM.

Hujah keempat, penyatuan Pas dan UMNO yang menggunakan Budaya Politik Matang Sejahtera lebih serasi dengan peredaran situasi politik hari ini. Ini disebabkan titik perbezaan telah diminimumkan sehingga menemui titik persamaan seperti pernah berlaku pada 1948.

Hujah kelima iaitu pemimpin tertinggi dan pertengahan UMNO dan Pas telah menyelesaikan banyak isu, khususnya isu kerusi DUN dan Parlimen untuk ditandingi.

Hujah keenam, di peringkat akar umbi UMNO dan Pas telah menunjukkan rapatan saf dalam PRK Semenyih dan Cameron Highlands. Hujah ketujuh kemenangan perikatan MCA, MIC dan Gerakan akan menyentuh semula terma perjanjian kedudukan mereka apabila bergabung dalam BN 3.0.

Ini menyebabkan satu corak baharu dalam wajah BN 3.0 yang diterajui oleh pemimpin pelapis muda. Hujah kelapan yang mengatakan MCA, MIC dan Gerakan tiada pengundi tegar adalah kurang tepat. Ketiga-tiga parti ini mempunyai pengundi tegar tetapi tidak memilih parti-parti tersebut disebabkan faktor UMNO dan Najib. Kini, UMNO dan Najib sudah tiada akan memudahkan ketiga-tiga parti memulakan perang persepsi untuk menarik kembali mereka.

Implikasinya ialah seramai 6.5 juta pengundi perikatan BN 3.0 di Semenanjung berbanding keseluruhan jumlah 12.6 juta pengundi, tidak termasuk Sabah dan Sarawak. Ini bermakna 6.1 juta pengundi daripada 12.6 juta pengundi yang bukan pengundi tegar kepada BN 3.0 di Semenanjung.

Di sini PH perlu meningkatkan pengundi tegarnya iaitu 4.1 juta daripada undian popularnya 5.77 juta pengundi dalam PRU14. Masih terdapat anggaran daripada 2.5 juta pengundi atas pagar hingga 3.5 juta pengundi atas pagar dalam PRU 15 nanti

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan