Persetujuan Statut Rom beri kepentingan pihak tertentu

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Persetujuan kerajaan mahu menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) didakwa akan melemahkan kuasa raja-raja yang sentiasa dilindungi kedaulatannya.

Kenyataan itu disuarakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melihat tiada keperluan kaedah perundangan itu dipersetujui.

“Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ini digubal oleh United Nations. Siapa yang mendapat faedah daripadanya? Hanya beberapa kuasa besar.

“Bagaimana mereka itu tidak pernah mempersoalkan apa yang berlaku kepada rakyat Palestin dan bagaimana rakyat tersebut menderita?

“Ini tidak bagus buat Raja-Raja, Melayu dan Islam. Tanpa anda menyedari, kita selaku orang Melayu telah mempermudahkan mereka untuk mencapai matlamat dan agenda mereka,” katanya menerusi laman Facebook peribadinya, di sini, sebentar tadi.

Tunku Ismail juga memaklumkan keputusan mempertimbangkan penyertaan kaedah perundangan tersebut telah dilakukan tanpa membuat perjumpaan serta mendapatkan persetujuan Majlis Raja Raja Melayu.

“Mengapa perlu tergesa-gesa atau perlunya menandatangani perjanjian ini? Apakah manfaatnya kepada negara? Dengan menandatanganinya, kami meletakkan pemerintah tertinggi iaitu YDP Agong dalam keadaan yang tergugat dan boleh diheret ke mahkamah antarabangsa.

“Tindakan yang hanya akan memberi kesan kepada pemerinta tertinggi harus terlebih dahulu mendapat persetujuan dari Majlis Raja-Raja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan sertai Statut Rom tidak jejas kedudukan Agong

Katanya, itu adalah contoh tindakan yang diambil pihak berkenaan apabila terlalu berpaksikan keinginan liberal.

“Inilah akibatnya apabila ada segelintir pihak mahu terlalu liberal. Kita sentiasa harus mempertegakkan Islam,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan keputusan kerajaan Malaysia mahu menyertai Statut Rom dibuat selepas yakin bahawa kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong tidak akan terjejas.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan sudah mengkaji secara mendalam dan teliti daripada segi semua aspek sebelum membuat keputusan untuk menyertai Statut Rom.