PRN Melaka: Najib tolak tawaran hartanah RM100 juta

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan menolak permohonan mendapatkan hartanah yang bernilai RM100 juta.

Keputusan itu dibuat kerana tidak mahu permohonan berkenaan dijadikan sebagai isu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Paling pelik, yang buat PRN ialah negeri Melaka tetapi yang kena serang ialah saya. Biarpun saya bukan calon di (PRN) Melaka, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu saya membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut walaupun secara prinsipnya ia berdasarkan kelayakan untuk semua bekas Perdana Menteri.

“Saya menyedari dan memahami ketika rakyat berdepan dengan saat-saat sukar seperti ini keutamaan negara ialah kepada rakyat,” katanya ketika dalam sidang akhbar yang berlangsung secara dalam talian pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan Bajet 2022 dalam Dewan Rakyat mengesahkan kerajaan menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Media sebelum ini melaporkan permohonan Najib untuk sebidang tanah seluas 1.13 hektar daripada kerajaan yang dikatakan terletak di sebuah lokasi di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, Najib mencadangkan peruntukan kelayakan untuk permohonan tersebut dikaji semula termasuk menarik semula permohonan itu kepada semua bekas Perdana Menteri selepas beliau.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan isu ini telah mencetuskan suasana tidak selesa dalam kalangan banyak pihak, saya mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat semua peruntukan kelayakan ini dan sekiranya perlu, menarik semula daripada semua bekas Perdana Menteri termasuk selepas saya.

“Bagaimanapun, bagi bekas Perdana Menteri yang telah menerima kelayakan tersebut tidak perlu kerajaan menarik balik peruntukan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN turut menekankan bahawa kelayakan untuk permohonan beliau itu masih lagi belum diluluskan.

Menurutnya, permohonan tersebut sepatutnya telah diselesaikan pada tahun 2018 lagi.

“Pokoknya, bukan saya minta kerajaan menyediakan (beri tanah) RM100 juta untuk saya.

“Kerajaan minta saya pilih berdasarkan beberapa ‘option’ (pilihan), maka saya pilih lokasi yang saya rasa paling sesuai untuk keperluan saya dan tanah yang dipilih pun adalah tanah kerajaan,” menurutnya.

Jelasnya, terdapat tiga pilihan untuk lokasi yang ditawarkan oleh kerajaan kepadanya.

“Jadi saya pilih lokasi berdasarkan apa yang ditawarkan kepada saya oleh Jabatan Perdana Menteri,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan manfaat atau faedah yang rakyat dapat dengan membencinya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Cuba kita renung balik. Ekonomi selepas PRU-14 lebih bagus, aset-aset negara bertambah dividen tabung-tabung menaik, kesejahteraan hidup rakyat bertambah lebih selesa, negara lebih stabil dan terancang, pasaran saham lebih baik, pelaburan asing meningkat, janji-janji manifesto ditepati?” soalnya.

Najib turut memaklumkan membuat permohonan tersebut seperti yang dibenarkan dan ditetapkan dalam akta kerajaan iaitu Akta Ahli Parlimen Saraan 1980 Pindaan 2003.

“Saya telah memohon permohonan kerajaan seperti yang dibenarkan dalam akta kerajaan.

“Saya boleh tarik balik pada tahun 2018 tersebut.

“Permohonan ini adalah berdasarkan kelayakan dan peruntukan yang ada dalam akta saraan bekas Perdana Menteri 1950 yang mana akta tersebut telah diubahsuai dan diperbaiki pada 2003 dan semua kemudahan tersebut telah diperoleh bekas-bekas Perdana Menteri sebelum saya,”

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

ARTIKEL BERKAITAN:Tengku Zafrul sahkan Najib mohon rumah bernilai RM100 juta

ARTIKEL BERKAITAN:'Berpada-pada hargai jasa bekas Perdana Menteri'