PRN Melaka: 217 pusat mengundi dibuka esok

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran akan dibuka untuk proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 12,290 orang petugas terlibat bagi melancarkan proses pengundian.

“Seramai 476,037 orang bakal mengundi di PRN Melaka esok. SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Menurutnya, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, mereka masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Bagaimanapun, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir. Majikan juga perlu membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok.

“Mana-mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Ikmalrudin berkata, pengundi juga diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan sanitasi tangan, merekodkan kehadiran dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi dan pengundi perlu memakainya di empat stesen dalam pusat mengundi.

Empat stesen itu ialah di pintu masuk pusat mengundi, pintu masuk saluran, dalam saluran iaitu selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal sebelum menerima kertas undi, serta sebelum keluar dari pusat mengundi.

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi.

“Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas dengan pemantauan pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Individu di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi perlu memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke pusat mengundi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, SPR juga telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi dan petak undi bagi kegunaan proses pengundian pada Sabtu ini.

“Semakan ini untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik.

“Peralatan akan diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi,” tambah beliau.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

ARTIKEL BERKAITAN:PRN Melaka: 476,037 pengundi biasa layak mengundi Sabtu ini