Peniaga rayu hidupkan kembali Melaka Raya

Melaka Raya yang kini semakin sepi dengan kedatangan pengunjung.
Melaka Raya yang kini semakin sepi dengan kedatangan pengunjung.
A
A
A

MELAKA - Persatuan Peniaga-peniaga Melaka Raya merayu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir yang akan dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti merancakkan kembali sektor ekonomi di kawasan tersebut.

Presidennya, Datuk Chay Kam Yuin berkata, biarpun terdapat beberapa hotel serta tempat penginapan di Melaka Raya tetapi masih kekurangan restoran menjual makanan halal.

Beliau berkata, besar harapan pihaknya untuk melihat kerajaan negeri akan datang bukan sahaja memberi perhatian dari aspek ekonomi, bahkan kebahagiaan rakyat dengan menumpu perhatian pembangunan Melaka Raya yang semakin dipandang sepi.

"Memang terdapat beberapa hotel namun disebabkan keterbatasan dan sukar menemui makanan halal di sini, jadi pelancong hanya menjadikan Melaka Raya lokasi singgah untuk penginapan sahaja.

"Kerana itu kita berharap Melaka Raya tidak dipinggirkan dan pembangunannya seimbang serta dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tempat makan yang boleh dinikmati pelbagai bangsa terutama makanan halal," katanya di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, jika isu tersebut tidak diberikan perhatian, akan lebih ramai peniaga terpaksa gulung tikar dan berpindah ke lokasi lain.

"Biasanya pelancong akan menginap di Melaka Raya namun mereka akan mencari tempat makan luar dari kawasan ini seperti medan ikan bakar.

"Harap rayuan kami ini didengari oleh wakil rakyat baharu di kawasan itu nanti," katanya,

Artikel Berkaitan:

Kam Yuin berkata, beliau telah bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam mengenai harapan peniaga-peniaga agar Melaka Raya dinaik taraf.

"Tun juga memberi keizinan kepada saya untuk berbincang dengan pihak terlibat dan meneruskan usaha murni ini demi kebaikan penduduk serta pelancong-pelancong," katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my