Belanjawan Johor 2022 serlah kerjasama gabungan parti

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Belanjawan Johor 2022 yang dibentangkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pada Khamis jelas menyerlahkan kerjasama antara gabungan parti mentadbir negeri ini demi menunaikan tanggungjawab kepada negeri dan bangsa Johor.

Profesor Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Kassim Thukiman berkata, meskipun ia dibuat dalam keadaan senario politik negara menggambarkan ‘turun naik’, namun ia tidak menjejaskan hubungan antara parti di negeri ini.

"Atas semangat pendemokrasian, pihak pembangkang mendapat peruntukan sama dengan parti kerajaan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

"Selain bersetuju menerima kehadiran pembangkang dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah sebagai pemerhati, Menteri Besar juga mengalu-alukan sebarang idea, pandangan dan kritikan membina untuk memulihkan ekonomi Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkat,a hal itu turut menunjukkan Hasni mempunyai pemikiran politik berperadaban tinggi, matang dan terbuka termasuk kepada pembangkang sekali gus menggambarkan semangat Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kassim berkata, pihak terlibat diharapkan tidak melengah masa dan melaksanakan segala inisiatif yang terdapat dalam belanjawan tersebut demi membantu rakyat dan memulihkan ekonomi Johor.

"Hasni mengakhiri ucapan dengan pernyataan menyentuh perasaan iaitu 'perbetulkan niat kita untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita merupakan orang yang paling bahagia, apabila kita menyaksikan rakyat mendapat manfaat yang maksimum, hasil daripada dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri'.

"Semoga ramai lagi pemimpin sebegini dapat dihadirkan dalam arus perdana politik untuk mensejahterakan rakyat dan memakmurkan ekonomi negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Negeri Johor semalam membentangkan Belanjawan 2022 bertemakan ‘Memperhebat Kesejahteraan Johor’ yang merupakan belanjawan defisit kedua berjumlah RM286.47 juta.

Selain itu, kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada pembangkang akan menerima peruntukan tetap RM200,000 setahun. - Bernama