PRS cadang tiga nama pertahan kerusi DUN Baleh: Ketua Pemuda

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Parti Rakyat Sarawak (PRS) telah mencadangkan tiga calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12), kata Ketua Pergerakan Pemuda parti itu Datuk Snowdan Lawan hari ini.

Beliau berkata, nama-nama tersebut telah dihantar kepada Ketua Menteri selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk pertimbangan.

“Kita lihat DUN Baleh sangat penting, ada dua tiga orang ingin bertanding dan nama-nama tersebut telah kita cadangkan.

“Bagaikan pasukan bola, kalau seorang pemain cedera, masih ada seorang pemain simpanan. Jadi kita terpaksa hantar tambahan nama calon, terpulang kepada Ketua Menteri untuk membuat keputusan,” katanya tanpa mendedahkan individu-individu tersebut.

Snowdan ditemui pemberita selepas menyerahkan cek replika dan surat kelulusan bantuan dana Sekolah Mubaligh Sarawak 2021 (Roman Catholic Diocese Of Sibu) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart.

Sebanyak empat sekolah menengah dan 19 sekolah rendah menerima bantuan berjumlah RM2,760,000.

Beliau memberitahu, penduduk di DUN Baleh memerlukan pemimpin yang baik bagi meneruskan legasi pembangunan yang telah diusahakan oleh presiden PRS mendiang Tan Sri James Masing dan menyeru supaya penyokong parti itu untuk menyokong siapa sahaja yang dipilih oleh pengerusi GPS itu kelak.

Ditanya kemungkinan parti itu akan meletakkan muka baharu untuk bertanding kerusi DUN Ngemah, Snowdan menjawab “mungkin”.

Artikel Berkaitan:

Penyandang kerusi itu Alexander Vincent hanya menang dengan majoriti 154 undi sahaja pada PRN11 berbanding 990 undi majoriti pada PRN10.

“Kalau kita buat matematik, kita tahulah. Angka itu agak jauh merosot. Bukan kita mengatakan beliau tidak boleh menang tapi kita mesti ada pemain simpanan, jadi kita hantar nama tambahan.

“Sebagai parti kita mahu menang, jadi kita kena atur strategi,” tambah beliau. - Bernama