Sasar 70 peratus graduan TVET jadi pekerja mahir menjelang 2025

Timbalan Menteri Pendidikan l, Datuk Dr Mah Hang Soon (tiga, kanan) bersama Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow (tiga, kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan, Zarinah Ahmad (dua, kiri) dan Pengurus Besar Kumpulan Sumber Manusia Top Glove Sdn Bhd, Loke Kean Mun (dua, kanan) selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dan Top Glove Corporation Berhad di Top Glove Tower Setia Alam, Selangor hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan 70 peratus atau 80,000 pelajar lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diambil bekerja sebagai pekerja mahir dalam industri berkaitan menjelang 2025.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kementerian itu turut menyasarkan 20 peratus pelajar TVET melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dan 10 peratus menjadi usahawan muda.

Beliau berkata, menurut Kajian Pengesanan Graduan TVET, sehingga 31 Oktober lepas, 98.29 peratus lepasan kolej vokasional sama ada telah diambil bekerja, melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi atau menjadi usahawan muda.

“Setakat ini, terdapat 87 kolej TVET di seluruh negara di bawah bidang kuasa KPM yang menawarkan program sijil dan diploma seperti Diploma Vokasional Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia.

“Fokus kerajaan untuk menambah baik sistem pendidikan kebangsaan dalam tempoh lima tahun akan datang disambut baik kerana ia akan membantu membangunkan lebih ramai bakat dengan kebangkitan Revolusi Pengindustrian Keempat (IR4.0),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPM dan Top Glove pada Khamis bagi menyokong pembangunan TVET di negara ini.

MoU itu melibatkan kerjasama selama lima tahun antara KPM dengan syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia berkenaan, yang bertujuan memajukan TVET di Malaysia, di samping meningkatkan kadar peluang pekerjaan negara dan mempromosi pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Menerusi kolaborasi itu, pelajar dan graduan TVET tempatan dari kolej-kolej vokasional di bawah KPM mempunyai akses kepada latihan industri, peluang pekerjaan dan peluang biasiswa bersama Top Glove, berdasarkan latihan industri dan proses pengambilan pekerja yang berstruktur. - Bernama

Artikel Berkaitan: