Pendapatan, gaji rakyat perlu jadi keutamaan Belanjawan 2027

AKMAL NASRULLAH
AKMAL NASRULLAH
A
A
A

GEORGE TOWN - Peningkatan pendapatan dan gaji rakyat perlu diberi perhatian lebih besar dalam Belanjawan 2027 seiring dengan perkembangan ekonomi negara serta usaha memperkukuh taraf hidup masyarakat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sudah tiba masanya isu pendapatan rakyat dijadikan antara perkara utama dalam perbincangan berkaitan belanjawan, khususnya bagi memastikan pertumbuhan ekonomi turut diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan.

Menurutnya, kerajaan diharap dapat menyatakan komitmen yang lebih jelas dalam usaha menyemak dan memperbaiki kedudukan gaji rakyat Malaysia.

“Sudah sampai masanya perbincangan berkaitan pendapatan atau gaji rakyat kebanyakannya terus diletakkan sebagai keutamaan.

“Oleh itu, menjadi harapan agar dalam belanjawan ini kita ada keupayaan untuk menyatakan komitmen bagaimana kedudukan gaji rakyat Malaysia dapat kita semak ataupun perbaiki lagi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis KL20 Penang 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai senarai hasrat Kementerian Ekonomi bagi Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan pada 9 Oktober nanti.

Dalam pada itu, Akmal berkata, usaha meningkatkan pendapatan rakyat bagaimanapun perlu bergerak seiring dengan keupayaan syarikat untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi serta menawarkan gaji yang lebih baik.

Katanya, antara tumpuan utama Kementerian Ekonomi adalah untuk memperkukuh struktur ekonomi negara, termasuk memperluas penerokaan industri berpertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV).

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan syarikat tempatan tidak hanya tertumpu kepada sektor pembuatan, sebaliknya mampu meningkatkan kedudukan dalam rantaian bekalan dan ekosistem ekonomi yang mempunyai nilai lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi kaedah atau pembawaan di peringkat Kementerian Ekonomi, kita sering melihat apakah struktur ekonomi yang boleh kita terus tambah baik.

“Termasuk yang kita bawakan hari ini untuk terus dipelopori dari segi HGHV supaya syarikat-syarikat Malaysia bukan sekadar berada di peringkat pembuatan semata-mata, tetapi mempunyai keupayaan untuk berada pada kedudukan lebih baik dari segi nilai dalam rantaian bekalan atau ekosistem yang ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan positif yang dicatatkan beberapa industri serta pertumbuhan agregat ekonomi ketika keadaan geopolitik global masih tidak menentu turut membuka ruang kepada kerajaan untuk memberi perhatian lebih besar terhadap isu pendapatan rakyat.

Akmal berkata, pelaburan dan dana yang disalurkan bagi pembangunan, termasuk Kampus ATE di Pulau Pinang, juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan syarikat tempatan.

“Hasratnya juga untuk kita terus mengangkat lagi keupayaan syarikat-syarikat kita yang seterusnya menghasilkan peluang pekerjaan yang lebih baik dan gaji yang lebih bermakna buat warganegara kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!