X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Maritim Kuala Kedah rampas 746 set bubu naga

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menunjukkan sebahagian bubu kambang yang dirampas sepanjang tempoh Januari hingga 16 November tahun ini.
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 746 set bubu naga (bubu kambang) sepanjang tempoh Januari hingga 16 November tahun ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kesemua bubu naga yang dirampas di sekitar perairan Kedah pada tahun ini dianggarkan bernilai lebih kurang RM89,520.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, pihak Maritim juga menahan dua suspek dan merampas 20 set bubu naga serta sebuah bot fiber dengan hasil tangkapan seberat 10 kilogram (kg) dengan nilai rampasan anggaran RM28,580 di 0.4 batu nautika Pantai Dulang Yan.

"Hasil pemantauan secara berkala yang dilakukan Maritim mendapati berlakunya peningkatan aktiviti penggunaan bubu naga di sepanjang perairan negeri Kedah.

"Terbaharu, sebanyak 15 set bubu naga lagi dirampas dengan anggaran RM1,800 oleh bot KILAT 29 di kedudukan 0.2 Tanjung Jaga, Yan pada 16 November lepas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noor Azreyanti berkata, pihaknya juga mengenalpasti beberapa lokasi yang sering dijadikan kawasan tumpuan penggunaan bubu naga antaranya, Perairan Yan dan Kuala Kedah.

"Bubu naga menjadi pilihan kepada mereka yang menginginkan keuntungan yang lebih besar serta lebih mudah disebabkan tidak memerlukan modal yang tinggi selain mudah didapati termasuk di platform e-dagang," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan penggunaan bubu naga diharamkan kerana boleh mengancam dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai yang lain.

Katanya, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan dan Maritim tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.

Maritim juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!