X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Pekerja pasar raya didakwa bunuh kanak-kanak dua tahun

Tertuduh (depan, tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Rompin pada Khamis.
A
A

ROMPIN - Seorang pekerja pasar raya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang di bawah jagaannya pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Noor Ab Manap, 31, yang berasal dari Kampung Kasing, Endau mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mohd Noor didakwa dengan niat membunuh kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Adam di sebuah rumah di Kampung Janglau di sini kira-kira jam 2 pagi, 11 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhalimatun Saadiah Abdullah, sementara tertuduh diwakili peguam, Ahmad Deniel Roslan.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, tertuduh dipercayai memijak mangsa pada bahagian perut sebanyak dua kali sehingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar sebelum ini berkata, tertuduh kemudian membawa mangsa yang tidak sedarkan diri ke Hospital Rompin.

Pihak hospital kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi pada hari kejadian.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!