Buku dan kluster perjalanan rancakkan pelancongan Kedah

Mohd Firdaus ketika sesi penggulungan Sidang DUN Kedah di Alor Setar pada Rabu.
Mohd Firdaus ketika sesi penggulungan Sidang DUN Kedah di Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan mewujudkan buku perjalanan dan beberapa kluster pelancongan pada tahun hadapan sebagai strategi merancakkan semula sektor pelancongan di negeri ini.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, menerusi buku perjalanan itu, pelancong boleh merancang percutian mereka dengan memilih kluster pelancongan dicadangkan.

Beliau berkata, pembangunan produk pelancongan seperti itu diperlukan bagi memastikan lebih ramai mengunjungi Kedah berikutan perancangan sebelum ini tertunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antara perancangan ialah mewujudkan beberapa kluster mengikut kategori pelancong. Antaranya dengan menjayakan ‘Jom Ride ke Kedah’ bagi penggemar motosikal berkuasa tinggi yang mampu berbelanja. Ini akan menjadikan Kedah sebagai destinasi baharu selain Karnival Bike Week di Sadao, Thailand,” katanya ketika mengambil bahagian pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Rabu.

Mohd Firdaus berkata, kluster lain ialah pelancong berkumpulan yang berhasrat mempelajari ilmu agama bersama ulama hebat di negeri ini dengan beberapa daerah dipilih sebagai projek rintis.

“Ini memberi peluang kepada penduduk di daerah tersebut mendapat limpahan kedatangan pelancong. Konsep melancong secara sederhana membolehkan homestay atau bilik sewa yang murah menjadi pilihan golongan ini.

"Kluster ini juga boleh melawat kawasan tumpuan sekitar seperti Empangan Muda, Sri Lovely Padi Organic serta Bendang Man,” jelas beliau.

Mohd Firdaus berkata, kluster lain ialah 'backpackers' yang gemarkan ekopelancongan dan kesederhanaan ketika melancong, manakala kluster keluarga yang gemarkan kawasan mempunyai kemudahan dan kepelbagaian seperti membeli belah dan tempat bersejarah.

Artikel Berkaitan:

“Kluster bulan madu lebih memilih suasana tenang seperti pulau. Kluster pemancing tegar dan profesional dimanfaatkan oleh nelayan untuk menjana pendapatan dengan membawa pelancong dalam pakej ‘fun fishing’ dan merasai pengalaman mencandat sotong, memasak dan makan atas bot nelayan,” katanya lagi.

Beliau berkata, cadangan menjadikan Terowong Komunis sebagai kawasan pelancongan juga akan diperhalusi berikutan tempat bersejarah mempunyai kluster pengembara tersendiri.

“Majlis Daerah Baling (MDB) pernah mengeluarkan kos sebanyak RM700,000 pada tahun 2016 untuk membaik pulih serta menaik taraf fasiliti di kawasan itu. Namun, tiada rancangan menaik taraf dibuat memandangkan kos tinggi dan MDB telah menghantar surat kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah memohon kebenaran atau permit masuk ke kawasan Terowong Komunis bagi membuat pelan pembangunan semula,” ujarnya.

Menurutnya, cadangan mengadakan tempat memelihara gajah juga akan diperhalusi dengan menjadikan Thailand sebagai rujukan.

“Ia bukanlah cadangan yang lawak atau idea bersahaja tetapi mampu memberi impak besar kepada pembangunan pelancongan. Seperti di Thailand, mereka menggunakan gajah untuk menarik pelancong bagi melihat persembahan haiwan berkenaan.

“Selain itu, produk berasaskan buah-buahan seperti durian sudah ada dalam pelan ekotourism yang dibincangkan bersama pemain industri,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak RM1.73 juta telah dibelanjakan bagi tujuan promosi serta melakukan aktiviti pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong pada tahun hadapan.

“Untuk memastikan Covid-19 tidak merebak dalam kluster pelancongan, beberapa inisiatif diambil. Antaranya dengan melihat kepada kejayaan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang diterapkan di kawasan pelancongan lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Firdaus menjelaskan, projek litar lumba di Sungai Petani yang sudah lama diumumkan masih diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Projek litar lumba itu diteruskan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN). Kini di peringkat pengesahan dokumen teknikal sebelum projek dimulakan.

"Konsep litar masih dikekalkan sebagai litar lumba antarabangsa. Litar Antarabangsa Sepang (SIC) masih menjadi penasihat operasi kerana memiliki pengalaman dan kemampuan dalam bidang permotoran,” kata beliau.