Laksana perancangan bersifat daya tahan pandemik

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) bersama Reezal Merican (kanan) melihat pameran selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia (100PBM) pada Rabu. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) bersama Reezal Merican (kanan) melihat pameran selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia (100PBM) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perancang bandar berperanan penting dalam melaksanakan agenda perancangan bersifat daya tahan pandemik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pandemik Covid-19 telah membuka keperluan penting perancangan bandar untuk melihat aspek kemakmuran, mobiliti sosial, daya tahan ekonomi dan mitigasi kemungkinan berlakunya kawasan bandar sebagai pusat epidemik.

Menurutnya, perancangan bandar hari ini tidak lagi melihat kepada struktural dan pembangunan infra semata-mata.

"Perancang bandar juga perlu menumpukan kepada doktrin perancangan dan pembangunan sejagat yang mengintegrasikan nilai kerohanian dalam perancangan.

“Ia mengambil kira tiga hubungan utama iaitu manusia dengan pencipta, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar," katanya dalam ucapan sambutan 100 tahun profesion Perancang Bandar di Malaysia sempena Hari Perancang Bandar Sedunia di sini pada Rabu.

Beliau berkata, bagi menjayakan agenda tersebut, perancang bandar berpegang kepada visi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Meneraju Kemakmuran Komuniti Bandar dan Persekitaran Mampan.

"Dengan suasana pasca pandemik, elemen bandar daya tahan dalam aspek perumahan dan ruang awam wajar dijadikan keutamaan," katanya.

Reezal berkata, dalam memperkasa agenda Malaysia Berdaya Huni, kementerian sedang berusaha untuk menyegerakan pembangunan kerangka dan Indeks Daya Huni model Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tiba masanya negara mempunyai Indeks Daya Huni yang dibangunkan sendiri selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menzahirkan Mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan," katanya.

Menyentuh mengenai Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN Ke-4), beliau berkata, sebanyak tiga pelan telah disediakan iaitu RFN Pertama (2005), RFN Ke-2 (2010), RFN ke-3 (2016).

"RFN ini dikaji setiap lima tahun bagi memastikan kesesuaiannya dengan perubahan pesat dalam persekitaran fizikal, ekonomi, sosial dan alam semula jadi," katanya.

Tambah beliau, RFN Ke-4 akan terus mendokong aspirasi pembangunan tiga RFN terdahulu dalam membentuk pelan pembangunan menyeluruh.

"Ia memberi penekanan kepada aspek perancangan keselamatan negara, peningkatan infrastruktur digital, pembangunan bercirikan pintar, negara ke arah neutral karbon, jaminan sekuriti makanan negara dan pembangunan komuniti yang inklusif serta berdaya huni," katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua warga perancang bandar diseru untuk bersama-sama merancang masa hadapan yang mampan dan sejahtera.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh profesion ini atas sambutan 100 tahun," katanya.