Terengganu tuntut hutang RM1.43 bilion

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu masih melakukan rundingan berhubung bayaran tunggakan hutang berjumlah RM1.43 bilion yang masih belum dijelaskan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan berusaha memastikan baki bayaran balik kepada projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) itu dijelaskan walaupun Kementerian Kewangan tidak mengiktiraf ia sebagai hutang.

“Keadaan terkini ada dinyatakan menerusi satu surat ditandatangani seorang individu di Kementerian Kewangan beranggapan kerajaan Persekutuan tidak mempunyai apa-apa hutang dengan kerajaan negeri sehingga tahun 2021.

“Fakta ini tidak dipersetujui, kerajaan negeri berpandangan masih ada urusan belum selesai dari segi kewangan kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

“Kerajaan Pusat masih belum jelaskan baki bayaran balik Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) bagi projek LPT2 berjumlah RM1.43 bilion, tetapi Kementerian Kewangan tidak iktiraf baki itu sebagai hutang kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hapandi Wan Nik (Pas-Sura) sama ada kerajaan Pusat masih berhutang dengan kerajaan negeri sehingga tahun 2021 pada pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) pada Rabu.

Menurut Ahmad Samsuri, kerajaan negeri mempunyai maklumat bahawa hutang tersebut telah dipersetujui oleh kabinet pada waktu itu yang memberi kelulusan bayaran balik kepada Terengganu dalam bentuk ‘in-kind’.

“Sekiranya tidak diiktiraf sebagai hutang, sudah tentu ia tidak diberi dalam bentuk ‘in-kind’. Kerajaan negeri sekarang dalam proses rundingan bagi menjelaskan bayaran ini dan kita akan berusaha bagi memastikan baki ini diperoleh kerajaan negeri,” katanya.

Artikel Berkaitan: