159 stesen hidrologi pantau banjir di Terengganu

Hanafiah
Hanafiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan sebanyak 159 stesen hidrologi bagi pemantauan awal bencana banjir di negeri ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, usaha itu sebagai sebahagian persediaan kemungkinan berlakunya banjir di Terengganu dalam waktu terdekat.

“Penyediaan 59 stesen hidrologi dengan tambahan 34 stesen daripada Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa 1 telah pun mula beroperasi bermula Ogos 2021.

“Bagi PRAB Fasa 2 pula, sebanyak 66 stesen lagi dijangka siap pada bulan November tahun depan menjadikan keseluruhan stesen hidrologi untuk memantau banjir di negeri ini adalah sebanyak 159 stesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) mengenai persiapan kerajaan bagi menangani kemungkinan banjir pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) pada Rabu.

Menurut Hanafiah, selain menambah bilangan stesen hidrologi baharu, JPS juga telah membelanjakan sebanyak RM6.6 juta bagi menyelenggara sungai dan alur negeri ini untuk mengurangkan risiko banjir.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi projek pemuliharaan sungai untuk meminimumkan risiko banjir manakala RM4.8 juta lagi digunakan bagi projek pemuliharaan sungai melalui program strategik memperkasa rakyat dan ekonomi (Pemerkasa).

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan 580 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung seramai 147,600 mangsa banjir.

Artikel Berkaitan:

“Pada tahun ini, JKM menerima peruntukan perolehan bencana sebanyak RM2 juta daripada kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dan kita menyediakan sebuah Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), 17 mini depoh dan 149 pengkalan hadapan.

“Dari segi keperluan makanan pula, agihan bekalan makanan ke daerah, pengkalan hadapan dan kawasan pulau seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian telah selesai pada 25 Oktober lalu,” katanya.

Jelas Hanafiah, seramai 2,949 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kini bersedia menghadapi banjir di negeri ini.