Sektor pelancongan Sarawak tunjuk pemulihan awal

Sektor pelancongan di Sarawak mula menunjukkan pemulihan sejak Oktober lalu apabila sejumlah RM47.48 juta nilai resit rasmi pelancongan dicatatkan.- Foto 123rf
Sektor pelancongan di Sarawak mula menunjukkan pemulihan sejak Oktober lalu apabila sejumlah RM47.48 juta nilai resit rasmi pelancongan dicatatkan.- Foto 123rf
A
A
A

KUCHING - Sektor pelancongan di Sarawak mula menunjukkan pemulihan sejak Oktober lalu apabila sejumlah RM47.48 juta nilai resit rasmi pelancongan dicatatkan dalam bulan berkenaan berbanding RM42.5 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus, sementara jumlah pengunjung juga turut meningkat apabila 20,926 orang direkodkan berbanding 18,338 sepanjang Oktober 2020.

“Terdapat peningkatan sebanyak 14 peratus (dari segi jumlah pengunjung ke Sarawak) dan ini sesuatu yang positif (dalam perkembangan pelancongan Sarawak)," katanya selepas merasmikan acara Stories From The Heart: Sarawak 360 Experience di bangunan Old Court House di sini pada Isnin.

Abdul Karim berkata, daripada keseluruhan jumlah untuk Oktober 2021 itu, 19,310 orang merupakan pengunjung domestik dan angka ini adalah 25 peratus lebih tinggi berbanding 15,371 orang pada bulan yang sama tahun lalu.

Dalam pada itu, jumlah pengunjung warga asing pula menurun 45 peratus apabila 1,616 orang sahaja dicatatkan berbanding 2,967 pada Oktober 2020 dan Abdul Karim tidak menafikan pelaksanaan kuarantin wajib menjadi antara faktor yang menyebabkan penurunan itu.

"Saya boleh faham (faktor penurunan) ini kerana sekatan (kemasukan untuk mencegah penularan Covid-19) memang banyak. Tiada warga asing yang suka datang ke sini kerana terpaksa dikenakan kuarantin dua minggu (selepas ketibaan)," katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, Sarawak perlu mengikut cadangan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini untuk membuka sempadan negara kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun depan.

"Saya fikir kita (di Sarawak) perlu mengikutinya sekiranya perkara (pembukaan sempadan negara) terbabit menjadi kenyataan bagi membolehkan aktiviti pelancongan Sarawak terus pulih,” ujarnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: