X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 29 Januari 2022

Emily bangga beg rekaannya jadi 'pembawa' dokumen Bajet 2022

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membawa dokumen Bajet 2022 ke Parlimen dan menjadi tumpuan lensa kamera media pada hari berkenaan.
A
A

KENINGAU - Pembentangan Bajet 2022 pada hujung bulan lalu membawa kebanggaan yang tersendiri kepada Emily Jeneble, 40, dari Kampung Batu Lunguyan Sook di sini.

Masakan tidak, hasil kerja tangannya diguna oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membawa dokumen Bajet 2022 ke Parlimen dan menjadi tumpuan lensa kamera media pada hari berkenaan.

Usahawan kraf berketurunan Dusun itu berkata, beg dokumen tersebut diperbuat daripada anyaman buluh dan kanvas kapas, dihiasi anyaman kelarai (berbentuk dam), iaitu motif anyaman asli masyarakatnya.

Mengulas reka bentuk beg dokumen itu, Emily berkata, kraf tersebut dihasilkan menerusi kerjasama dengan Sasibai Kimis, pengasas Earth Heir, iaitu jenama kraf tangan mewah yang dikenalinya semasa Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur di Putrajaya pada 2017

“Saya ambil masa tiga hari untuk siapkan beg itu,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan Sasibai, beliau berkata, mereka mula bekerjasama pada 2018.

“Beliau akan memberikan lakaran reka bentuk dan saya akan siapkan kraf mengikut lakaran itu,” katanya, menambah beliau juga bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia yang banyak membantu khususnya dari segi rekaan.

WARISI KEMAHIRAN MENGANYAM NENEK

Emily yang merupakan pengurus Syarikat Seri Elf Enterprise dan juga Pengerusi Koperasi Kraf Batu Lunguyan Sook Berhad, berkata beliau mendapat pendedahan tentang seni anyaman sejak kecil kerana nenek serta ibu dan ibu saudaranya pembuat kraf tradisional.

Katanya beliau mula terlibat secara aktif dalam kegiatan itu pada usia 17 tahun apabila turut membantu ibunya menyiapkan tempahan dulang anyaman buluh.

“Ketika itu saya amat seronok walaupun hanya menganyam motif yang senang kerana turut menerima upah. Dari situ timbul minat terhadap aktiviti menganyam kerana boleh menjana pendapatan,” kata ibu kepada lima anak berusia lima hingga 20 tahun itu.

Menurutnya, kebanyakan kraf tangan yang dihasilkannya ialah dalam motif asal suku kaum Dusun, antaranya ‘nurugan’ atau mutiara, ‘nandus andus’ (mata anak panah) dan ‘tavaran’ (jagung) yang diinspirasikan oleh susunan biji jagung.

Emily berkata, beliau kini dibantu oleh perantisnya Marcella Hassan bagi menyiapkan tempahan yang merupakan 100 peratus buatan tangan.

SEBULAN HASILKAN ANYAMAN BULUH

Bercerita lanjut, Emily yang berkelulusan Diploma Perniagaan Kraftangan daripada Institut Usahawan Muda Malaysia pada 2019, berkata, bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan kraf berkenaan diambil dari kawasan di sekitar kampungnya.

Kebanyakan produk kraf beliau diperbuat daripada buluh, namun ada juga anyaman rotan dan pandan.

Jelasnya, tempoh yang diambil untuk menghasilkan sesuatu produk pula bergantung pada rekaan serta bahan yang digunakan. Untuk anyaman buluh, proses boleh mengambil masa hingga sebulan kerana bahan mentah diambil dari hutan.

"Untuk produk anyaman buluh gabungan jahitan pula hanya memerlukan masa seminggu," tambah beliau.

Menurut wanita itu, ketahanan produk buatannya bergantung pada kekerapan penggunaan, namun bagi kraf tangan hiasan seperti pasu bunga, alas meja atau hiasan dinding boleh bertahan selama bertahun-tahun.

Beliau berkata, produk utama yang dihasilkannya ialah anyaman buluh salingkawang yang mempunyai motif suku kaum Dusun Minokok dan Murut Sabah.

ANUGERAH USAHAWAN KRAF MUDA 2018

Katanya, antara produk yang paling digemari pengguna selain bakul anyaman buluh salingkawang ialah beg tikalis, rantai kunci, beg silang, kotak hadiah, beg dokumen dan beg sandang serta dompet yang dijual pada harga RM2 hingga RM380.

Penglibatan Emily dalam seni kraf tangan pernah diiktiraf oleh Kraftangan Malaysia melalui Anugerah Usahawan Kraf Muda pada 2018, selain turut memenangi Malaysia Good Design Award daripada Majlis Rekabentuk Malaysia pada 2017 dan 2019.

"Setiap produk mempunyai pelbagai motif tradisional yang digabungkan dengan motif moden seperti fesyen, cenderahati dan hiasan. Ada juga rekaan produk diinspirasikan oleh alat tradisional seperti beg tikalis yang diilhamkan daripada alat tampi padi kaum Murut," ujarnya.

Emily juga pernah menyertai pameran kraf tangan dan demonstrasi jualan di beberapa negara antaranya Itali, Jerman, China (Shanghai), Indonesia (Jakarta) dan Filipina (Manila).

Menurutnya, beliau beruntung kerana suaminya Junaidi Roslee, 47, sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk terus berkarya selain turut membantu dalam perniagaan.

JUALAN DALAM TALIAN

Pada masa sama, beliau berkata produk kraf yang dihasilkan oleh komuniti kampungnya turut mendapat permintaan tinggi daripada kedai di lapangan terbang di seluruh negara selain kedai kraf biasa, sekali gus memberi pendapatan sampingan kepada mereka.

"Selain itu, kami juga menerima tempahan daripada pelbagai kementerian yang menjadikan kraf kami sebagai cenderahati dalam setiap program yang dianjurkan,” katanya, menambah usaha itu dibantu oleh kira-kira 30 penduduk kampung, khususnya bagi mencari bahan mentah.

Bagaimanapun kata Emily, penularan pandemik menyebabkan perniagaan mereka terjejas dan beliau mengubah strategi dengan melakukan perniagaan dalam talian selain menerima bantuan pemasaran daripada Kraftangan Malaysia.

"Saya berharap satu hari nanti saya akan dapat mengeluarkan sebuah buku evolusi kraf anyaman buluh dan membina galeri evolusi produk anyaman buluh rekaan 70-an hingga kini sebagai bahan rujukan kajian pelajar sekolah, universiti, pencinta kraf di samping menjana pendapatan dengan adanya kedatangan pelawat dari dalam dan luar negara," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!