Mufti Pulau Pinang tegur MB Kedah

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegur Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan serta menjaga imej sebagai pemimpin kerajaan negeri yang dihormati.

Teguran itu dibuat berikutan kenyataan Muhammad Sanusi mengaitkan judi ekor dengan Pulau Pinang yang dianggap sebagai sesuatu mendukacitakan dan tidak wajar.

Menurut Wan Salim, kenyataan Menteri Besar Kedah itu boleh dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap institusi-institusi agama Islam di Pulau Pinang yang sentiasa berusaha memartabatkan kedudukan Islam di negeri berkenaan.

"Kita sedia maklum bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tiada raja atau sultan di Malaysia. Pulau Pinang termasuk dalam negeri yang segala urusan mengenai agama Islam terletak secara langsung di bawah Yang di-Pertuan Agong.

"Selaku seorang ‘abang’, suka saya menasihatkan Menteri Besar Kedah ini supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

"Beliau perlu menjaga imej jawatan disandangnya sebagai seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri yang dihormati, bukan sebagai pemimpin di peringkat kampung atau kawasan yang pengaruhnya agak terhad," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Wan Salim turut menasihatkan Muhammad Sanusi supaya tidak membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dengan pemimpin lain terutama negeri jiran, sebaliknya berusaha menjalin hubungan mesra dengan semua pihak.

Sementara itu, Wan Salim berkata, walaupun Pulau Pinang kini diperintah Pakatan Harapan (PH) menerusi gabungan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah), namun kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan tetap terpelihara dan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, katanya, bajet yang diperuntukkan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi melaksanakan pelbagai program keislaman di negeri ini mencecah hampir RM70 juta sejak tahun 2008.