'Anjakanlah sampai ke tahun depan sekali pun....'

FOTO: Football Association of Malaysia. Gambar kecil : Jamal Nasir.
FOTO: Football Association of Malaysia. Gambar kecil : Jamal Nasir.
A
A
A

BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berharap Harimau Malaya melakukan persediaan lebih rapi dalam mengharungi kempen kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2023 pertengahan tahun depan.

Malah bekas pemain pertahanan negara itu juga mengingatkan lanjutan tempoh masa diberikan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk kelayakan pusingan ketiga perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi penambahbaikan.

“Saya hendak beritahu sama ada anjak tak anjak, sekiranya corak permainan skuad Harimau Malaya masih seperti itu juga kita tidak akan ke mana-mana malah tetap seperti dulu.

“Anjakanlah sampai ke tahun depan sekali pun, tanpa kita mengambil sepenuh iktibar dan pengalaman ketika bergelut semasa pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai tempoh hari, hasil akan tetap sama.

“Ya, apabila AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) menganjak jadual kelayakan Piala Asia, ia perkhabaran baik untuk skuad negara melakukan persiapan rapi untuk kelayakan tersebut, namun sama ada permainan skuad negara akan meningkat atau sebaliknya sepanjang tempoh itu, ia persoalan yang terus menjadi misteri dalam kalangan komuniti bola sepak negara,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pusingan ketiga sebelum ini dijadualkan berlangsung pada hujung Januari dan awal Februari tahun depan, sebelum badan induk itu mengumumkan secara rasmi tiga tarikh yang telah ditetapkan iaitu 8, 11 dan 14 Jun 2022.

AFC pada masa sama mengesahkan pusingan ketiga akan diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format single round robin.

Harimau Malaya selepas itu mengharungi dua perlawanan persahabatan di Amman, Jordan yang menyaksikan skuad negara tewas 0-4 kepada Jordan dan 1-5 kepada Uzbekistan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Jamal mengingatkan sekali lagi kepada pengurusan skuad negara untuk memberi perhatian khusus terhadap kelemahan ketara bahagian pertahanan apabila berdepan lawan yang mengamalkan corak permainan pantas.

“Perkara ini sebelum ini pernah saya suarakan sebelum ini untuk perhatian dan tindakan skuad negara sebelum kempen kelayakan lagi untuk penambahbaikan.

“Kita sebenarnya perlu ada pakar khusus untuk mengendalikan department pertahanan, department tengah dan department serangan, seperti yang dilakukan terhadap penjaga gol sekarang.

“Secara keseluruhannya, bahagian pertahanan sering mengulangi kesilapan-kesilapan sama seperti sebelum ini jika diperhatikan dalam setiap perlawanan skuad negara.

“Saya bagi contoh paling mudah semasa menentang Uzbekistan pada perlawanan persahabatan itu, para permain pertahanan berdepan kelemahan ketara untuk menyaingi ketika pemain lawan melakukan crossing,” katanya.

Pada masa sama, Jamal berkata, skuad negara perlu bersedia berdepan pasukan hebat sama seperti Jordan dan Uzbekistan pada pusingan kelayakan tersebut.

“Saya percaya Harimau Malaya akan berdepan lebih banyak lagi pasukan seperti Jordan dan Uzbekistan pada pusingan seterusnya.

“Sejujurnya, apabila kita dibelasah dalam dua perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan, seharusnya mental dan fizikal para pemain sudah awal-awal lagi dipersiapkan bagi mengharungi perlawanan kelayakan pusingan ketiga ini.

“Komuniti bola sepak negara ini mahu melihat peningkatan dipamerkan skuad Tan Cheng Hoe selepas dibelasah Jordan dan Uzbekistan. Para pemain negara bukan tak mampu bersaing, namun penambahbaikan perlu dilakukan lebih serius,” katanya.