Lima ahli sindiket tipu pelaburan ditahan, seorang cuba sogok polis

Mohamad (dua kanan) ketika dalame sidang media di IPD Nilai.
Mohamad (dua kanan) ketika dalame sidang media di IPD Nilai.
A
A
A

NILAI - Tiga lelaki dan dua wanita tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Nilai pada Sabtu selepas dipercayai terlibat sindiket penipuan pelaburan tidak wujud di Facebook.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, suspek berusia antara 21 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Nilai.

"Seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 30-an turut ditahan pada jam 1.40 pagi Ahad di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai kerana cuba menyogok anggota polis RM200,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap ahli sindiket yang ditangkap.

"Hasil siasatan dalam pangsapuri tersebut, polis merampas 15 telefon bimbit, dua komputer riba dan wang tunai berjumlah RM2,473," katanya dalam sidang media di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM200,000 pula dirampas daripada suspek yang cuba menyogok polis.

"Modus operandi sindiket adalah dengan mempromosikan skim pelaburan tidak wujud dalam di Facebook. Mereka berhubung dengan mangsa hanya melalui aplikasi WhatsApp serta menggunakan pelbagai akaun bank untuk menjalankan a penipuan tersebut.

"Nama sindiket penipuan pelaburan tidak wujud ini akan bertukar-tukar dalam tempoh tiga bulan selain kegiatan yang dilakukan di Nilai ini telah dijalankan kira-kira lima hingga enam bulan lepas. Dengan penahanan kesemua suspek ini, polis percaya telah menyelesaikan kira-kira 11 kes berkaitan sindiket sama tetapi siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman dua hari dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: