FAMA bantu pasarkan 10.5 tan roselle

Saiful (dua kiri) mengiringi Abd Rahman (dua kanan) ketika melawat kebun roselle di Kampung Desa Murni di sini pada Sabtu.
Saiful (dua kiri) mengiringi Abd Rahman (dua kanan) ketika melawat kebun roselle di Kampung Desa Murni di sini pada Sabtu.
A
A
A

ROMPIN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu memasarkan 10.5 tan hasil tanaman roselle yang diusahakan oleh 46 peserta ladang kontrak di dua kawasan di daerah Rompin, tahun ini.

Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri berkata, nilai keseluruhan jualan produk pertanian itu tahun ini sebanyak RM42,000.

Menurut beliau, jumlah itu jauh berkurangan berbanding hasil dan nilai jualan untuk tahun-tahun sebelum ini.

"Ia berikutan pekebun mengurangkan keluasan tanaman ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Bagi hasil tahun ini, selain untuk bekalan pusat memproses makanan FAMA Rengit, Johor, buah roselle keluaran pekebun Kampung Desa Murni dan Kampung Tebu Hitam itu turut di eksport ke Australia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas

mengiringi lawatan Pengarah Kanan FAMA, Abd Rahman Mahmood ke Pusat Pengumpulan Ladang Kampung Desa Murni, di sini, pada Sabtu.

Saiful berkata, roselle keluaran daerah itu terkenal dengan kualitinya hingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Pihak FAMA akan terus berusaha membantu pekebun roselle yang turut mengusahakan beberapa tanaman kontan lain seperti keledek, kacang tanah dan jagung.

"Pelbagai kemudahan telah disediakan kepada pekebun antaranya bantuan peralatan, pengangkutan, kursus dan latihan," katanya.

Tambah beliau, latihan dan kursus diberikan kepada pekebun bagi membuka peluang kepada mereka untuk menghasilkan produk hiliran berasaskan roselle.

"Kita jangkakan keluaran roselle daerah ini akan meningkat tahun hadapan bagi memenuhi permintaan tempatan dan luar," katanya.

Tamat