'Game changer' kepada usaha bendung Covid-19

PICK berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 66 peratus populasi remaja setakat 2 November lalu. - Foto Bernama
PICK berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 66 peratus populasi remaja setakat 2 November lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha titik peluh kerajaan dan semua pihak dalam membendung pandemik Covid-19 dilihat memberi impak positif dan semestinya menjadi berita baik kepada semua rakyat di seluruh negara.

Salah satu inisiatif kerajaan iaitu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan sehingga kini menjadi ‘game changer’ (pencetus perubahan) yang menjadi pemangkin kepada langkah pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan merentas negeri.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Menurutnya, PICK berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 66 peratus populasi remaja setakat 2 November lalu.

Katanya, bilangan kes jangkitan harian Covid-19 turut berjaya diturunkan dan memberi kelegaan kepada rakyat serta petugas barisan hadapan.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk rakyat meraikan kemenangan tersebut kerana kenikmatan yang dirasai pada ketika ini tidak mustahil akan ditarik balik sekiranya mereka lalai, tidak mengamalkan penjarakan diri dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Pada Sabtu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua pihak mengambil iktibar daripada pelbagai ujian sebelum ini selain terus memainkan peranan sehingga negara bebas sepenuhnya daripada wabak Covid-19.

Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat agar terus bersabar, menjaga kesihatan diri dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.

Artikel Berkaitan:

Selain daripada itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) kebangsaan kepada 1.04.

Nilai Rt merujuk kepada tahap keberjangkitan kes Covid-19 iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Khairy dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya meminta orang ramai agar terus memakai pelitup muka, di samping mengelakkan tempat sesak dan mendapatkan suntikan penggalak.

Dalam pada itu, pakar perubatan berpandangan tahap pematuhan terhadap SOP adalah rendah termasuk budaya peluk cium yang masih dilakukan masyarakat ketika berkumpul dilihat menjadi antara faktor penyumbang kepada kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Pada Rabu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, budaya berkenaan yang diamalkan dalam keadaan pandemik pada ketika ini menyebabkan berlaku kluster jangkitan.

Ujarnya, perkumpulan itu berlaku dalam majlis-majlis sosial termasuk di kampung kerana ramai masyarakat bandar pulang ke kampung halaman selepas aktiviti rentas negeri kembali dibenarkan pada 11 Oktober lalu.

Susulan itu, masyarakat jangan terlampau selesa dengan keadaan negara pada ketika ini kerana wabak Covid-19 masih ada dan bila-bila masa sahaja kes jangkitan boleh kembali meningkat sekiranya tidak berhati-hati.