Program perancangan kewangan akan dipergiatkan: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan program-program pengetahuan terfokus berkaitan perancangan kewangan melalui usaha bersepadu Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dipergiatkan lagi, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebagai contoh, beliau berkata, pada akhir bulan Oktober lepas, BNM telah menganjurkan Bulan Literasi Kewangan untuk meningkatkan celik kewangan bagi semua lapisan rakyat.

Program seperti ini membolehkan masyarakat mendapatkan konsultasi perancangan kewangan daripada perancang kewangan berlesen secara percuma.

“Inisiatif sebegini adalah khusus untuk membantu masyarakat mengatasi impak dari pandemik COVID-19 yang berkaitan dengan pengurusan kewangan dan merancang segala keperluan kewangan peribadi termasuk persediaan persaraan,” katanya ketika berucap pada program penutupan Bengkel Pengurusan Kewangan My Money & Me 2021, anjuran Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) secara maya pada Sabtu.

Selain itu, Tengku Zafrul menambah kerajaan turut memberi penekanan kepada kesejahteraan kewangan golongan belia terutamanya dalam Bajet 2022 yang telah dibentangkan pada 29 Okt lepas.

Katanya, pemberian diskaun seperti bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menggalakkan dan membantu perancangan aliran tunai yang lebih sempurna bagi peminjam, terutamanya dalam melancarkan pembayaran semula sebarang hutang yang telah diambil.

“Insentif melalui diskaun ini adalah usaha kerajaan menerapkan sikap serta amalan membayar balik hutang yang bertanggungjawab, yang merupakan antara teras penting dalam konsep celik kewangan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kajian yang dikendalikan penyelidik MFPC dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan adanya keinginan yang tinggi dalam kalangan belia, yang berusia 18 hingga 29 tahun, untuk mencapai kejayaan kewangan peribadi.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul menyatakan antara faktor penentu kejayaan ini bagi golongan belia sudah tentunya adalah literasi atau celik kewangan, selain daripada sosialisasi kewangan, teknologi kewangan dan kawalan diri.

"Peningkatan kos sara hidup, kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sebelum ini telah memberi impak besar kepada kesejahteraan kewangan golongan belia.

"Kajian itu menunjukkan bahawa terdapat hubungan signifikan yang positif serta kesan langsung di antara literasi kewangan, sosialisasi kewangan, kawalan diri dan teknologi kewangan terhadap kesejahteraan kewangan golongan belia,'’ jelas beliau.

Perkara yang paling harus ditekankan adalah tingkah laku kewangan positif yang menjadi penentu kesejahteraan kewangan yang paling kritikal, tambah Tengku Zafrul.

Justeru, perkembangan teknologi kewangan yang pesat di Malaysia diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan kewangan belia.

Dalam usaha ini, katanya kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM300 juta kepada belia melalui insiatif e-Start untuk mendorong penggunaan e-wallet.

“Bagaimanapun, ada juga teknologi kewangan yang berupaya mempunyai pengaruh negatif terhadap kesejahteraan kewangan belia seperti "Beli Sekarang, Bayar Kemudian" (BNPL) yang menjadi tarikan kepada belia.

“Oleh itu, literasi kewangan akan membantu memastikan keputusan yang betul dibuat bagi menjamin kesejahteraan kewangan,” kata Tengku Zafrul. - Bernama