Semua PPV bahagian Miri ditutup mulai Isnin

PPV di Bahagian Miri akan ditutup secara rasmi bermula Isnin depan. Foto hiasan 123RF
PPV di Bahagian Miri akan ditutup secara rasmi bermula Isnin depan. Foto hiasan 123RF
A
A
A

MIRI - Kesemua pusat pemberian vaksin (PPV) di Bahagian Miri akan ditutup secara rasmi bermula Isnin depan, menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri pada Jumaat.

Kenyataan itu menyebut penutupan itu yang melibatkan PPV Eastwood Valley, Curtin University, Dewan Masyarakat Bekenu, Dewan Masyarakat Beluru, Dewan Masyarakat Sepupok, Dewan Suarah Marudi dan Dewan Terbuka Long Lama, dibuat selepas perbincangan serta persetujuan bersama dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu memaklumkan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) masih berjalan seperti biasa dengan pemberian vaksin akan dilaksanakan di klinik-klinik kesihatan dan fasiliti kesihatan swasta.

“Mana-mana individu yang belum lagi mendapatkan vaksin atau ingin mendapatkan dos penggalak, boleh menghubungi klinik kesihatan terlibat dan memberikan butiran peribadi kepada pegawai bertugas,” kata kenyataan itu.

Antara klinik kesihatan terlibat dalam pemberian vaksin ialah Klinik Kesihatan Tudan, Miri, Bekenu, Batu Niah, Tun Abang Haji Openg, Marudi, Beluru dan Long Lama, manakala bagi fasiliti kesihatan swasta termasuk Klinik Lee, Klinik Dinamik Miri, Klinik U.N.I Miri, Borneo Medical Centre Miri dan Hospital KPJ Miri.

Bagi individu di kawasan pedalaman yang masih belum mendapatkan vaksin atau dos penggalak, jawatankuasa itu memaklumkan mereka boleh ke klinik kesihatan terdekat bagi tujuan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: