X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

DNB hanya boleh daftar syarikat telekomunikasi selepas RAO

A
A

DIGITAL Nasional Berhad (DNB) hanya boleh mendaftarkan syarikat telekomunikasi selepas penerbitan Tawaran Akses Rujukan (RAO) untuk perkhidmatan 5G.

DNB dalam satu kenyataan berkata, RAO dijangka akan dimuktamadkan pada akhir November selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Menurut DNB, pihaknya akan memulakan rundingan komersial dengan syarikat telekomunikasi sebelum mendaftarkan syarikat telekomunikasi yang terlibat.

Katanya, RAO telah dirangka pada September lepas untuk perkhidmatan 5G dan maklumat itu telah dikongsikan bersama SKMM serta pemain industri utama bagi membolehkan mereka memberikan maklum balas.

"Memang benar syarikat telekomunikasi masih belum mendaftar dengan DNB kerana itu adalah kelazimannya (mengikut proses). RAO perlu diterbitkan mengikut Piawaian Akses Mandatori.

“RAO juga akan menjadi asas bagi DNB untuk memeterai perjanjian komersial dengan pemegang lesen yang merupakan pencari akses setelah maklum balas ini diterima dan dinilai. DNB jangka akan memuktamadkan RAO pada akhir November selepas kelulusan SKMM.

“Ini bermakna, kami hanya boleh mendaftar syarikat telekomunikasi selepas penerbitan RAO. Di sini, jelas bahawa DNB tidak meminta sebarang pendaftaran dan tidak mengharapkan Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) menandatangani apa-apa sehingga selepas RAO diterbitkan.

“Walau apa pun, perlu diingat bahawa pada 10 November lalu, DNB telah berjaya menjalankan integrasi percubaan lima rangkaian teras syarikat telekomunikasi kepada Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G DNB dan ia dilaporkan secara meluas di media,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab kembali laporan sebuah media antarabangsa yang menyimpulkan bahawa belum ada syarikat telekomunikasi utama yang mendaftar lagi dengan DNB.

Malah, katanya, media berkenaan memilih untuk mengabaikan fakta yang dibentangkan, sebaliknya mengemukakan pandangan yang tidak tepat dan berat sebelah.

Menurut DNB, laporan itu juga menyatakan bahawa kos 5G kepada MNO akan menjadi lebih tinggi daripada kos yang boleh dijana oleh syarikat telekomunikasi itu sendiri.

Sedangkan, katanya, fakta sebenar ialah kos tambahan atau marginal bagi setiap GB 4G syarikat telekomunikasi pada masa ini ialah sekurang-kurangnya RM0.50.

"Kami percaya kos setiap GB 5G daripada DNB yang telah dimaklumkan kepada syarikat telekomunikasi adalah jauh lebih rendah daripada kos untuk menjana pada rangkaian mereka sendiri.

"Logik untuk kos yang lebih rendah dengan infrastruktur yang dikongsi tunggal adalah mudah. Di mana-mana di dunia, lebuh raya dibina dan dikongsi untuk pemandu semua jenama kereta.

"Bayangkan kos jika setiap pembuatan kereta membina lebuh raya mereka sendiri untuk kegunaan eksklusif," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, laporan itu turut menyatakan bahawa syarikat telekomunikasi akan menjadi kurang untung jika mereka mesti membeli daripada DNB, sekali gus menyebabkan harga saham mereka akan menurun dan mengakibatkan kerugian RM45 bilion dalam permodalan pasaran.

Tetapi, jelasnya, kerajaan mengumumkan penubuhan DNB dengan mandat untuk melancarkan 5G dengan pantas di Malaysia melalui infrastruktur perkongsian tunggal pada 18 Februari 2021.

Oleh itu, katanya, harga saham semua syarikat telekomunikasi tersenarai telah mengatasi prestasi Indeks Komposit Bursa Malaysia sejak itu.

"Laporan itu menyatakan pelabur tidak percaya syarikat telekomunikasi akan menghadapi kemusnahan nilai.

"Sebenarnya, ada sebab mengapa kos perkhidmatan 5G yang lebih rendah daripada DNB. Ia sepatutnya membawa kepada pendapatan bersih yang lebih tinggi.

"Justeru, secara logiknya, ia akan diterjemahkan kepada harga saham yang lebih tinggi bagi syarikat telekomunikasi ini," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!