KKM kurangkan penggunaan amalgam pergigian

KKM mengambil pelbagai tindakan bagi mengurangkan secara berfasa penggunaan amalgam pergigian. - Foto 123RF
KKM mengambil pelbagai tindakan bagi mengurangkan secara berfasa penggunaan amalgam pergigian. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pelbagai tindakan bagi mengurangkan secara berfasa penggunaan amalgam pergigian.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian), Dr Noormi Othman dalam kenyataannya berkata, ia selaras dengan saranan FDI Persekutuan Pergigian Dunia (World Dental Federation).

"Antara langkah yang telah diambil adalah memperkukuh strategi pencegahan dan promosi kesihatan pergigian dengan memberi penekanan kepada pengesanan dan pencegahan lesi karies awal," katanya.

Menurut beliau, tindakan itu dapat mengurangkan tampalan pergigian.

"KKM juga bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan iaitu Angkatan Tentera Malaysia, universiti, pengamal swasta dan pembekal bahan pergigian dalam membangunkan strategi yang mampan bagi fasa pengurangan penggunaan amalgam pergigian selain memastikan akses kepada bahan pergigian alternatif pada harga patut," katanya.

Beliau berkata berkata demikian mengulas mengenai laporan akhbar berbahasa Inggeris yang bertajuk Toxic Mercury in Dentistry yang disiarkan pada Isnin lalu.

Ujar beliau, Kesihatan Pergigian juga menjalankan penyelidikan berkaitan penggunaan bahan tampalan pergigian bebas merkuri yang selamat, berkesan dan berkualiti.

"Kami juga mengehadkan penggunaan amalgam pergigian kepada amalgam berkapsul dan pemasangan perangkap atau penapis amalgam selaras dengan amalan pengurusan persekitaran terbaik untuk sisa amalgam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noormi berkata, Konvensyen Minamata Mengenai Merkuri adalah perjanjian peringkat antarabangsa untuk melindungi kesihatan dan alam sekitar daripada kesan sampingan bahan tersebut.

Tambah beliau, Malaysia telah menandatangani perjanjian itu sejak tahun 2014, namun masih belum menjadi ahli kepada konvensyen tersebut.

"Walaubagaimanapun, Program Kesihatan Pergigian KKM telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan penggunaan amalgam pergigian kepada 15 peratus menjelang tahun 2020.

Sasaran itu telah berjaya dicapai pada tahun 2019 iaitu penggunaan amalgam pergigian di fasiliti KKM di seluruh Malaysia adalah hanya 9.91 peratus," katanya.

Katanya, Position Statement on the Use of Dental Amalgam 2020 yang diterbitkan oleh Majlis Pergigian Malaysia, menyokong penggunaan bahan tampalan alternatif kepada amalgam pergigian, terutamanya bagi golongan kanak-kanak, ibu mengandung, ibu menyusukan anak dan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan seperti buah pinggang serta alahan terhadap amalgam.

"PKP KKM akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain dalam mengurangkan atau seboleh-bolehnya, mengelakkan penggunaan amalgam pergigian melainkan didapati perlu berdasarkan keperluan khusus yang terbaik bagi pesakit," katanya.

Tampalan perak amalgam dilapor mengandungi 50 peratus merkuri. Ia dikeluarkan secara berterusan daripada tampalan dan diserap serta disimpan di dalam badan, terutama dalam otak, ginjal, hati, paru-paru, dan saluran gastrointestinal.

Hasil merkuri dapat diperkuat dengan jumlah tampalan dan aktiviti lain seperti mengunyah, menggiling gigi dan penggunaan cairan panas.

Merkuri juga diketahui dilepaskan semasa penempatan, penggantian dan penyingkiran tambalan amalgam merkuri gigi.

Bahan tampalan ini telah digunakan sejak 150 tahun yang lalu memandangkan ia mempunyai ciri-ciri kekuatan, ketahanan dan kualiti pengendalian yang baik.