PH bakal tekankan isu akses internet di Melaka

Prasanth Kumar Brakasam. - Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Prasanth Kumar Brakasam. - Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

MELAKA - Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan dalam mencari solusi berhubung isu akses capaian internet yang lemah di beberapa kawasan di negeri Melaka.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Prasanth Kumar Brakasam berkata, tinjauan beliau di beberapa kampung mendapati ramai penduduk yang terkesan akibat masalah tersebut.

“Apabila turun ke lapangan, saya lihat banyak masalah yang timbul disebabkan rakyat tidak mempunyai akses internet di kampung, antaranya kesukaran murid sekolah untuk menyertai Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR).

“Terdapat juga pelajar universiti yang kehilangan markah tugasan akibat tidak dapat akses internet. Ia perlu ditekankan dan saya yakin PH akan memberi tumpuan tentang isu ini.

“Dalam masa sama, kami akan turut menekankan mengenai isu ekonomi, kesihatan, kebajikan dan peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program 'Berani Semuka yang bertajuk Muka Baharu atau Kitar Semula' yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian pada Khamis.

Program tersebut menyaksikan perdebatan dua calon muda PRN Melaka antara Prasanth dengan calon Bebas DUN Ayer Molek, Ahmad Muaz Idris.

Dalam perkembangan sama, Prasanth turut mengakui bahawa anak muda adalah pemimpin masa hadapan negara.

Artikel Berkaitan:

“Sudah tiba masanya suara anak muda sama ada di peringkat sekolah mahu pun universiti, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didengari.

“Mereka perlu terus memimpin masyarakat untuk masa depan yang lebih cerah dan saya pasti akan menyokong mana-mana calon muda pada pilihan raya akan datang,” jelas beliau.